
Suara.TV
Oleh Zihan Zari
JITRA – Seramai 1,190 pelajar baharu mendaftar masuk ke Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) telah memilih bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memburu masa depan yang cemerlang.
Pengarah POLIMAS, Dr. Mhd Azmin Mat Seman telah merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelajar kerana memilih POLIMAS sebagai platform pengajian mereka dan menyifatkan kepercayaan ini sebagai satu tanggungjawab yang besar buat POLIMAS dalam membentuk generasi TVET unggul.
Beliau berkata demikian di majlis meraikan pelajar baharu POLIMAS Sesi 1: 2025 /2026 yang dikendalikan oleh Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (JHEPP) POLIMAS, dekat sini baru-baru ini.
Dr. Mhd Azmin berkata POLIMAS mempunyai pasukan pensyarah yang berkualiti tinggi, berkaliber, kemudahan pengajaran moden, dan suasana kampus yang menyokong pembelajaran yang kondusif, ”katanya.
Katanya lagi, kejayaan POLIMAS mencatat kadar kebolehpasaran tinggi sebanyak 96.2 peratus (%) pada 2024 membuktikan graduan POLIMAS amat digemari oleh pihak industri.
“Kita melahirkan pelajar berkepakaran tinggi yang menjadi rebutan syarikat-syarikat besar. Ini hasil kombinasi kemahiran teknikal dan nilai kerja tinggi yang diterapkan sepanjang pengajian.
“POLIMAS bukan hanya tempat belajar, malah institut bagi membina impian dan masa depan. Kami menyambut setiap pelajar seperti keluarga,” tambahnya.
Terdahulu, seawal jam 9.00 pagi, para pelajar bersama ibu bapa masing-masing telah memenuhi ruang pendaftaran dalam suasana yang cukup membanggakan bagi sebuah Politeknik Premier negara.
Pelajar baharu, Muhammad Nasrul Mohd Hatta dari SMK Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor yang menyambung pelajaran dalam bidang Diploma Kejuruteraan Awam, turut berkongsi perasaan semangat dan sedikit hiba.
“Saya berasa sangat bersemangat untuk belajar setelah terpilih menyambung pengajian di POLIMAS.
“Walaupun agak sedih kerana terpaksa tinggalkan keluarga di selatan tanah air, saya yakin inilah permulaan terbaik untuk masa depan saya,”katanya dengan penuh yakin.
Bagi Nur Syuhada Md Nayan dari SMK Sultanah Bahiyah, Alor Setar pula menzahirkan rasa teruja dapat mengikuti pengajian dalam Diploma Pemasaran.
“Saya sangat gembira dapat melanjutkan pelajaran di POLIMAS dan amat berharap para pensyarah akan membimbing saya untuk menjadi pelajar yang cemerlang,” katanya penuh harapan.
Bagi pelajar dari SMK Bukit Gambir, Pulau Pinang, Theevern Moganraj yang menyambung pelajaran dalam Diploma Teknologi Maklumat berkata pendaftaran ini adalah titik mula kepada fasa hidupnya yang baharu.
“Saya teruja untuk memulakan cerita baharu dalam hidup saya. Harapan saya adalah untuk jadi pelajar cemerlang dan membanggakan keluarga,” katanya penuh semangat.
Dalam pada itu, POLIMAS turut menyediakan pelbagai bantuan kewangan dan kebajikan seperti bantuan zakat serta bantuan khas pengajian bagi pelajar yang layak.
Di samping itu, dengan sokongan pensyarah berkepakaran tinggi, makmal dan fasiliti pembelajaran terkini, POLIMAS bersedia mencorak kejayaan baharu buat setiap pelajar yang melangkah masuk ke kampus ini.-SUARA.TV