120 pelajar jadi kumpulan perintis kursus Asasi Teknologi Kejuruteraan di POLIMAS

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
19 August 2025
Akademik, BERITA

JENDELA MADANI

Seramai 120 pelajar melakar sejarah apabila menjadi kumpulan perintis bagi mengikuti kursus Asasi Teknologi Kejuruteraan di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah.

Pendaftaran pelajar baharu ini berlangsung di Dewan Seri Mas, POLIMAS.

Program ini merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)
yang menyasarkan pengukuhan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bertaraf tinggi (Advance TVET) melalui laluan khas ke Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan di rangkaian MTUN (Malaysia Technical University Network).

Pelajar dan ibu bapa yang hadir turut diberi penerangan secara menyeluruh melalui aktiviti pendaftaran asrama, taklimat kampus, sesi bersama ibu bapa serta pameran pendidikan.

Pengarah POLIMAS, Rosli Idris dalam ucapan alu-aluannya menekankan bahawaprogram ini mengintegrasikan ilmu, kemahiran dan nilai dalam bentuk pembelajaran yang menyeronokkan dan praktikal.

“Program ini direka khas untuk membentuk pelajar sebagai tenaga teknikal berkemahiran tinggi,” katanya.

Beliau berkata, ia bukan sahaja menjimatkan masa pengajian, tetapi menyediakan platform kukuh untuk ke peringkat lebih tinggi.

“Asasi ini adalah permulaan kepada laluan emas ke MTUN,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan perasmian Minggu Transformasi Siswa (MTAS) oleh Pengarah Bahagian Ambilan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Azirin Abdul Aziz.

Beliau berkata ini merupakan kumpulan ketiga pelajar Asasi Teknologi Kejuruteraan di peringkat nasional dan POLIMAS kini antara institusi peneraju program berteraskan advance TVET.

“Program ini disusun khusus sebagai “feeder” kepada program sarjana muda teknologi kejuruteraan di MTUN,” katanya.

Beberapa pelajar yang ditemui antaranya Muhammad Azmi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Nangka, Perlis menyifatkan dirinya beruntung apabila ditawar dengan kursus ini.

Bagi Nur Adriana Batrisya Mohd Helmi dari SMK Darul Ridwan, Perak akui beliau sangat teruja kerana berpeluang mengikuti program yang disifatkan sebagai istimewa.

Muhammad Atiqullah Ruslin dari SMK Tengku Ibrahim, Terengganu sangat bersyukur dan berjanji akan belajar bersungguh-sungguh.

Antara kelebihan utama program ini termasuk, yuran pengajian yang rendah, jaminan laluan ke MTUN (bagi yang menepati syarat), pendekatan pembelajaran amali dan menyeronokkan, kemudahan asrama lengkapdan bantuan kewangan kepada pelajar yang layak. – JM

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti