MAJLIS PELUNCURAN RC SOCCER – FOOSBALL SOCCER KOLEJ KOMUNITI SEBERANG JAYA

KOLEJ KOMUNITI SEBERANG JAYA
29 September 2025
Penyelidikan dan Inovasi, Uncategorized

Permatang Pauh, 22 SEPTEMBER 2025, – Majlis Peluncuran RC Soccer- Foosball Soccer Robot Zon Pulau Pinang telah berlangsung di Pusat STEM, Politeknik Seberang Perai. Majlis ini telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari Bin Ismail,

Turut hadir memeriahkan majlis ini ialah  Dato’ Dr. Roslan Bin Ahmad, Pengurus Yayasan TYT Pulau Pinang, wakil industri, para pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Utara serta pelajar-pelajar sekolah dari sekitar Seberang Perai Tengah.

Dalam ucapan perasmiannya, Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari Bin Ismail menegaskan projek ini adalah hasil kolaborasi stategik antara Kolej Komuniti Seberang Jaya dan Politeknik Seberang Perai. Beliau menyatakan bahawa kerjasama seperti ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara institusi, malah mewujudkan perkongsian kepakaran dan memantapkan ekosistem inovasi pendidikan teknikal negara.

“Projek RC Foosball Soccer ini, yang diinspirasikan daripada permainan foosball tradisional, adalah contoh terbaik bagaimana sesuatu yang klasik boleh ditransformasikan menjadi produk berteknologi tinggi dan berunsurkan pendidikan. Selain daripada itu, pertandingan seumpama ini dapat melahirkan para pelajar yang kreatif, berdaya saing dan berinovasi”, katanya

Insiatif Foosball Soccer Robot merupakan satu inisiatif yang cemerlang dalam memperkasa Pendidikan STEM. Melalui pendekatan “Entertainment Education” projek ini berjaya menarik minat generasi muda melalui pembelajaran yang interaktif dan praktikal.

Pembangunan robotik ini turut menggabungkan kepakaran pelbagai jabatan terutamanya Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Jabatan Teknologi Maklumat.

Kejayaan projek ini dilihat sebagai kesinambungan komitmen institusi dalam bidang robotik, susulan pencapaian kejohanan FIRA di Korea baru-baru ini, di mana pemenang membawa pulang 13 pingat, Robot Foosball ini juga telah dijadikan projek perintis dalam sisipan FIRA yang telah berlangsung di Kolej Komuniti Jasin, melibatkan 20 pasukan, sekali gus membuktikan minat yang mendalam pelajar Kolej Komuniti terhadap robotik dan inovasi.

(Dato’ Dr. Mohd Zahari bin Ismail bersama Tn Hj. Mohd Ruzi Bin Hamzah Pengarah PSP, Ts Hj Husaini Aza Bin Mohd Adam Pengarah KKSJ, Dato’ Dr. Roslan Bin Ahmad, Pengurus Yayasan TYT P.Pinang  merasmikan gimik RC Soccer- Foosball Soccer Robot di Pusat STEM, Politeknik Seberang Perai.)

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti