Peningkatan Inovasi Teras KKS, INNOCREATE 2026 Cungkil Kreativiti Warga PolyCC

KOLEJ KOMUNITI SEGAMAT
01 October 2026
Penyelidikan dan Inovasi

SEGAMAT, 30 September 2026 – Kolej Komuniti Segamat (KKS) terus memperkukuh budaya inovasi dan kreativiti dalam kalangan warga institusi menerusi penganjuran Karnival Inovasi Kreatif INNOCREATE 2026 yang berlangsung di Segamat Central, hari ini.

Mengangkat tema “Peningkatan Inovasi Teras KKS”, program berkenaan menjadi platform untuk warga KKS mengetengahkan idea, produk serta hasil inovasi kreatif yang berpotensi memberi nilai tambah kepada komuniti, organisasi dan masyarakat.

Penganjuran kali ini melibatkan penyertaan 55 pasukan yang terdiri daripada 4 kategori pertandingan inovasi. Selain Kolej Komuniti Segamat, penyertaan kali ini juga diterima daripada Negeri Melaka dan negeri Johor.

Program bermula dengan sesi pameran inovasi dan taklimat penjurian sebelum para peserta membentangkan hasil inovasi masing-masing untuk dinilai oleh barisan juri yang berpengalaman dalam pelbagai bidang.

Majlis perasmian Karnival Inovasi Kreatif INNOCREATE 2026 disempurnakan oleh TPgB II Mohd Aizad bin Hj Mamat, Ketua Balai Bomba Bandar IOI Segamat, yang turut menyaksikan pameran hasil inovasi peserta.

Acara kemudiannya diteruskan dengan sesi penyampaian hadiah dan sijil kepada para pemenang sebagai penghargaan terhadap kreativiti, komitmen serta usaha yang dicurahkan dalam menghasilkan inovasi masing-masing.

Penganjuran INNOCREATE 2026 turut memperlihatkan kerjasama erat antara KKS dengan pelbagai agensi dan institusi melalui penglibatan barisan juri daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Kolej Komuniti Segamat 2 (KKS2), Kolej Komuniti Ledang, Balai Bomba Bandar Putra, Majlis Perbandaran Segamat (MPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Segamat.

Pihak KKS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua juri atas kesudian meluangkan masa, kepakaran dan komitmen dalam menjayakan proses penilaian INNOCREATE 2026.

Program ini diharapkan terus menjadi pemangkin kepada usaha KKS dalam membudayakan inovasi secara berterusan, sekali gus melahirkan warga yang kreatif, berdaya saing dan mampu menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Peningkatan Inovasi Teras KKS – Kreativiti Diperkasa, Inovasi Diteraju.”

Lihat Sedikit

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti