
Projek inovasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan oleh Ts. Zulfadhli Osman, pensyarah di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), berjaya meraih pingat emas dan anugerah khas ‘Best Innovation That Contributes to Industry or Economy’ dalam Open International Innovations Challenge 2026 (OpIIC 2026), menerusi projek “Machine Learning-Based Prediction System for Intraoperative Hypotension” di Kepala Batas semalam, 10 September 2026 (Khamis).
Pengiktirafan tersebut menjadi pencapaian bermakna dalam perjalanan penyelidikan Zulfadhli, yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat pascasiswazah di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM), melalui program Hadiah Latihan Persekutuan (HLP). Kejayaan ini turut melibatkan penyelia pengajian, Profesor Madya Ts. Dr. Fatanah Mohamad Suhaimi, serta Pegawai Perubatan Anestesia, Dr. Nurulhuda Jusoh, yang merupakan ahli pasukan penyelidik bagi projek berkenaan.
Tempoh cuti belajar yang sedang dimanfaatkan bukan sahaja memberi ruang untuk memberi tumpuan kepada pengajian dan penyelidikan, malah membuka peluang untuk meneroka aplikasi teknologi dengan lebih mendalam.
Projek ini turut memperlihatkan bagaimana ilmu dan kemahiran dalam bidang kejuruteraan elektronik, khususnya kawalan dan automasi, dapat digabungkan dengan kecerdasan buatan (AI) dan bidang kesihatan bagi menghasilkan penyelesaian teknologi terhadap permasalahan sebenar.
Projek berkenaan membangunkan sistem berasaskan pembelajaran mesin bagi meramalkan risiko tekanan darah rendah pesakit ketika menjalani pembedahan. Menurut Zulfadhli, projek itu dibangunkan sebagai sebahagian daripada penyelidikan pengajian sarjana beliau di PKTAAB, USM.
“Penyelidikan ini memberi peluang kepada saya untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang teknologi kepada permasalahan sebenar dilapangan. Pada masa yang sama, pengalaman ini membuka ruang untuk saya melihat bagaimana penyelidikan rentas bidang boleh menghasilkan inovasi yang mempunyai potensi untuk memberi manfaat kepada masyarakat”, katanya lagi.
Kejayaan ini juga mencerminkan kepentingan budaya penyelidikan dan inovasi dalam kalangan warga pendidikan TVET, khususnya dalam menghadapi perkembangan teknologi seperti AI, analitik data dan automasi. Pengalaman yang diperoleh sepanjang pengajian dan penyelidikan ini berpotensi dikongsikan semula dalam ekosistem pendidikan politeknik dan kolej komuniti, sekali gus memperkukuh hubungan antara penyelidik di institusi pendidikan tinggi serta industri.
Kejayaan ini turut menjadi contoh bahawa HLP yang diperkenalkan oleh kerajaan boleh dimanfaatkan secara optimum bukan sahaja untuk mencapai kelayakan akademik, tetapi juga menghasilkan penyelidikan dan inovasi yang memberi impak kepada Masyarakat serta mampu diketengahkan di peringkat antarabangsa.

Ts. Zulfadhli Osman

Profesor Madya Ts. Dr. Fatanah Mohamad Suhaimi

Dr. Nurulhuda Jusoh