Perantarabangsaan pelajar POLYCC : Usahasama Malaysia dan Thailand

KOLEJ KOMUNITI BALING
05 October 2025
Umum

30 September 2025 – Program Mobiliti Pelajar POLYCC 2025 dan kolaborasi anjuran Kolej Komuniti Baling dengan kerjasama Anuban Betong School dan Betong Industrial & Community Education College telah berlangsung dengan jayanya pada 4 dan 5 Jun 2025. Program ini melibatkan penyertaan seramai 10 orang pelajar Kolej Komuniti Baling bersama 16 pensyarah dan pengurusan tertinggi kolej, dan mendapat sambutan mesra daripada pihak institusi rakan di Thailand.

Pelbagai aktiviti telah diatur sepanjang dua hari tersebut, termasuk sesi lawatan akademik, perkongsian pengalaman pembelajaran, pertukaran budaya serta bengkel interaktif iaitu bowl painting dan cupcake deco. Aktiviti ini bukan sahaja memberi pendedahan baharu kepada para pelajar, malah turut menggalakkan mereka berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, meningkatkan keyakinan diri serta mengasah kemahiran insaniah seperti kepimpinan dan kerjasama berpasukan.

Antara sorotan utama ialah sesi interaksi dengan pelajar tempatan yang memberi peluang kepada peserta untuk memahami budaya, gaya pembelajaran dan nilai masyarakat di Betong. Program ini berjaya mencetuskan suasana pembelajaran rentas budaya yang menyeronokkan serta inklusif, di samping membina jaringan hubungan baik antara institusi TVET di Malaysia dan Thailand.

Secara keseluruhan, Program Mobiliti Pelajar POLYCC 2025 anjuran Kolej Komuniti Baling telah mencapai objektifnya iaitu membuka horizon pelajar, memupuk semangat kerjasama antarabangsa serta meningkatkan kebolehan pelajar menghadapi cabaran global. Diharapkan inisiatif seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang sebagai platform terbaik dalam memperkaya pengalaman pembelajaran pelajar Kolej Komuniti.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti