

Kota Tinggi, 25 Oktober 2025 – Majlis Peluncuran Produk Pengkomersialan Tepung Magic Pizza telah berlangsung dengan penuh meriah pada 25 Oktober 2025 (Sabtu) bertempat di Kolej Komuniti Kota Tinggi (KKTJ). Majlis bersejarah ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ts. Dr. Mohd Norhadi bin Muda, Timbalan Pengarah Unit Pengkomersialan, Pusat Penyelidikan dan Inovasi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
Majlis Peluncuran yang dianjurkan oleh Kolej Komuniti Kota Tinggi ini merupakan salah satu inisiatif utama di bawah Geran TVET Applied Commercialisation Grant Scheme (T-ACGS) yang dikendalikan oleh JPPKK. Program ini bertujuan meraikan kejayaan KKTJ dalam menghasilkan produk pengkomersialan sulung berimpak tinggi hasil penyelidikan dan inovasi warga kolej.
Projek Tepung Magic Pizza merupakan hasil penyelidikan dan latihan pelajar dalam bidang kulinari serta keusahawanan, sebelum dikembangkan menjadi produk rasmi bernilai komersial. Dengan peruntukan dana T-ACGS berjumlah RM59,950.00, projek ini melibatkan pelbagai proses penting termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), penjenamaan, reka bentuk pembungkusan, analisis nutrisi serta strategi pemasaran sebenar.
Sebagai kesinambungan projek, turut diadakan Kursus Pendek Pembuatan Pizza menggunakan Tepung Magic Pizza. Kursus ini memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari teknik penyediaan pizza menggunakan produk inovasi keluaran kolej. Melalui aktiviti ini, peserta bukan sahaja dapat merasai sendiri keistimewaan Tepung Magic Pizza, malah memahami potensi produk ini sebagai bahan asas mudah guna dan bernilai pasaran tinggi.
Lebih daripada sekadar produk makanan, Tepung Magic Pizza menjadi simbol kejayaan pendidikan TVET yang berjaya diterjemahkan dalam bentuk inovasi sebenar dan bernilai ekonomi. Ia turut membuktikan keupayaan Kolej Komuniti Kota Tinggi sebagai hab inovasi, penyelidikan terapan dan pengkomersialan TVET yang berperanan penting dalam pembangunan komuniti setempat.

