Hari Sukan Kolej Komuniti Jempol 2025 berlangsung meriah

KOLEJ KOMUNITI JEMPOL
31 October 2025
Sukan

JEMPOL, 31 Oktober 2025 – Hari Sukan Kolej Komuniti Jempol (KKJNS) 2025 telah berlangsung dengan penuh meriah dan semangat kesukanan di Kompleks Rakan Muda Jempol.

Program tersebut menghimpunkan seluruh warga kolej yang terdiri daripada pensyarah, staf dan pelajar bagi menyertai pelbagai acara sukan dan aktiviti riadah yang bertujuan memupuk semangat kesukanan serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga KKJNS.

Antara sukan utama yang dipertandingkan ialah futsal, badminton, bola tampar, sepak takraw dan permainan e-sport Mobile Legends. Sementara itu, dua acara cabaran turut diadakan iaitu Woodball (Gate In One) dan Petanque (Shooting Challenge).

Selain acara sukan, beberapa aktiviti santai seperti tarik tali dan sukaneka turut dipertandingkan serta mendapat sambutan meriah daripada para peserta.

Warga KKJNS dibahagikan kepada empat pasukan utama iaitu Hamka (Hijau), Ibnu Khaldun (Biru), Khalid al-Walid (Merah) dan Za’aba (Kuning).

Pasukan Ibnu Khaldun (Biru) telah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Hari Sukan KKJNS 2025 setelah menunjukkan prestasi cemerlang dalam pelbagai acara yang dipertandingkan.

Encik Amalulkhair Sarbini , Pengarah Kolej Komuniti Jempol dalam ucapan perasmiannya berkata bahawa penganjuran Hari Sukan KKJNS merupakan inisiatif penting dalam membentuk jati diri pelajar yang aktif, berdisiplin dan berdaya saing, di samping memperkukuh hubungan kerjasama antara staf dan pelajar.

Beliau turut menzahirkan harapan agar program tersebut dapat dijadikan acara tahunan institusi sebagai platform memperkasa budaya hidup sihat dan semangat kekitaan dalam kalangan warga kolej.

Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta dan urus setia atas komitmen serta kerjasama yang diberikan dalam menjayakan Hari Sukan KKJNS 2025.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti