Keratan Akhbar: Lima pelajar PMU terima sumbangan khas

POLITEKNIK MUKAH
12 March 2026
Suara Sarawak

MUKAH: Komitmen pelajar Politeknik Mukah (PMU) dalam mengimarahkan aktiviti keagamaan sepanjang Ramadan bukan sahaja dihargai, malah turut membawa manfaat apabila lima pelajar dipilih menerima sumbangan khas bagi membantu meringankan beban kewangan sepanjang pengajian mereka.

Sumbangan tersebut disampaikan dalam Majlis Iftar Perdana PMU anjuran Pusat Islam PMU kepada pelajar yang mencatatkan jumlah merit kehadiran tertinggi bagi aktiviti yang dianjurkan sepanjang Ramadan.

Lima pelajar yang menerima sumbangan berkenaan ialah Aiman Zafri Ridzuan Rosdi, Puteri Norkiah Mohamad Sarbini, Muhammad Naqeeb Syahiran Mohamad Zamhari, Muhammad Shahran Sarbini dan Muhammad Amir Hanafi Abdul Aziz.

Pengerusi Pusat Islam Politeknik Mukah, Muhammad Azam Ngah berkata, inisiatif tersebut merupakan usaha bagi menghargai ketekunan pelajar yang aktif menyertai program ibadah serta memberi sokongan kepada mereka dari segi kewangan.

Menurutnya, pemberian sumbangan dalam bentuk wang tunai itu diharap dapat membantu pelajar menampung sebahagian keperluan harian sepanjang mereka mengikuti pengajian di politeknik.

“Kita berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban kewangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, usaha tersebut juga diharap dapat menjadi galakan kepada pelajar lain untuk lebih aktif menyertai program kerohanian yang dianjurkan di Pusat Islam PMU.

Sementara itu, salah seorang penerima sumbangan, Aiman Zafri Ridzuan Rosdi berkata, penghargaan tersebut tidak disangka kerana pada asalnya hanya ingin memanfaatkan Ramadan dengan menghadiri aktiviti ibadah.

Ujarnya, sebagai pelajar, setiap bantuan sangat bermakna kerana ia dapat membantu menampung keperluan harian, sekali gus memberi motivasi untuk terus aktif menyertai aktiviti di Pusat Islam PMU.

Bagi Puteri Norkiah Mohamad Sarbini pula, program seumpama ini memberi pengalaman Ramadan yang lebih bermakna kepada pelajar yang berada jauh daripada keluarga.

Terdahulu, majlis tersebut turut disertai warga PMU, pelajar PMU serta pelajar tahfiz dari institusi berhampiran yang bersama-sama memeriahkan program berbuka puasa dan aktiviti kerohanian sepanjang Ramadan.

Penganjuran program berkenaan diharap terus memperkukuh peranan Pusat Islam PMU sebagai pusat pengimarahan aktiviti kerohanian di samping menyokong pembangunan sahsiah pelajar.

Sumber : Suara Sarawak, 11 Mac 2026
Sumber gambar : Politeknik Mukah (PMU)

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti