Keratan Akhbar: Pelajar PMU dilantik Ejen Perpaduan Kementerian

POLITEKNIK MUKAH
30 March 2026
Suara Sarawak

MUKAH: Pelajar Jabatan Perdagangan Politeknik Mukah (PMU), Syauqi Imani Ibrahim dilantik sebagai Ejen Perpaduan di bawah Kementerian Perpaduan Negara bagi sesi 2025 hingga 2027 menerusi inisiatif Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).

Pelantikan tersebut adalah sebagai pengiktirafan komitmen serta pelibatan aktif beliau dalam pelbagai aktiviti kesukarelawan dan program pembangunan belia.

Menurut Syauqi, pelantikan tersebut menjadi amanah besar dan membuka peluang untuk memainkan peranan dalam memupuk semangat perpaduan.

“Perpaduan bukan sekadar konsep, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan seperti pelibatan dalam aktiviti sukarelawan, program komuniti serta interaksi antara masyarakat pelbagai latar belakang,” katanya.

Sehubungan itu, Syauqi turut berharap pelibatannya sebagai Ejen Perpaduan dapat menjadi inspirasi kepada pelajar yang lain untuk turut aktif menyumbang kepada masyarakat.

“Jika kita bergerak bersama, kita mampu mewujudkan persekitaran kampus dan komuniti yang lebih harmoni.” tambahnya.

Sementara itu, Pegawai YSS PMU, Muhammad Sallehuddin Ismail berkata, pelantikan tersebut membuktikan bahawa pelajar institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga mampu tampil sebagai pemimpin belia yang berwibawa dan berpengaruh.

Menurutnya, ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan PMU. Kejayaan Syauqi sekali gus mencerminkan komitmen PMU dalam melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan kemahiran, malah berupaya menyumbang secara positif kepada masyarakat dan negara.

Sumber : Suara Sarawak, 18 Mac 2026
Sumber gambar : Politeknik Mukah (PMU)

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti