
KUCHING: Lebih RM30,000 dana berjaya dikumpulkan oleh Persatuan Golf Amatur Bumiputra Sarawak (PGABS) untuk diagihkan kepada anak yatim dan asnaf sempena Program Iftar Bersama Anak-anak Yatim dan Asnaf di Masjid Ikhwanul Islam, Taman Sukma.
Penaung PGABS, Zabidi Shabaneh berkata seramai 200 penerima akan mendapat manfaat daripada usaha tersebut, khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Sumbangan duit raya yang akan diagihkan bukan daripada saya, tetapi hasil sumbangan rakan-rakan yang bermain golf.
“Dana itu diagihkan kepada semua penerima yang memerlukan. Ini merupakan sebahagian usaha kebajikan kami selain aktiviti bermain golf,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mewakili Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Fadillah Yusof merangkap Presiden PGABS, Ir Irwan Zulkarnain Datuk Muhammad Hasbie menyempurnakan Program Agihan Bubur Lambuk dan Iftar Bersama Anak-anak Yatim dan Asnaf di Masjid Ikhwanul Islam Taman Sukma, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Kuching, Sumbang Mandaw berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Kami sangat berbesar hati kerana dapat membantu memasak dan mengagihkan bubur lambuk dalam program ini. Terima kasih atas kerjasama semua pihak,” katanya.
Pengurus Besar Liansin Trading Sdn Bhd, Junaidi Ali berkata program tersebut bukan kali pertama dianjurkan, malah diadakan setiap tahun menjelang Ramadan.
“Kami juga mengadakan banyak program agihan bubur lambuk bersama komuniti lain di seluruh Sarawak termasuk di Sibu, Bintulu, Miri, Limbang dan Lawas,” katanya.
Pada program itu, sebanyak 600 pek bubur lambuk turut diagihkan kepada penduduk sekitar Taman Sukma.
Sumber: Suara Sarawak Online, 12 Mac 2026
Sumber gambar: Suara Sarawak