Bukan sekadar pameran — Politeknik Mukah buktikan komitmen kukuhkan TVET Malaysia sempena SPM 2025

POLITEKNIK MUKAH
01 April 2026
Akademik

MUKAH, 1 April 2026 — Politeknik Mukah (PMU) mengambil langkah proaktif dengan mengadakan sesi pameran kemasukan terus ke lima buah sekolah menengah sekitar Mukah dan Bintulu sempena pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM 2025, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuhkan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

Sekolah-sekolah yang dikunjungi merangkumi SMK Matu, SMK Oya, SMK Mukah, SMK Kemena Bintulu dan SMK St. Patrick.

Melalui pameran ini, pegawai Politeknik Mukah yang hadir telah berkongsi maklumat mengenai program pengajian, syarat kemasukan dan laluan kerjaya yang tersedia. Sekaligus memberi peluang kepada pelajar untuk membuat keputusan yang tepat sejurus selepas menerima keputusan SPM. Inisiatif ini memperlihatkan kesungguhan PMU dalam memastikan pelajar cemerlang tidak ketinggalan untuk meneruskan pengajian dalam bidang TVET, khususnya dalam kalangan pelajar di kawasan luar bandar Sarawak.

Antara pelajar yang ditemui ialah Akmal Faiz Sapuan dari SMK St. Patrick yang berjaya meraih 8A dalam SPM 2025. Akmal Faiz Sapuan yang berminat dalam bidang teknologi maklumat menyatakan hasratnya untuk melanjutkan pengajian dalam program Diploma Teknologi Maklumat yang ditawarkan di PMU.

“Saya sangat bersyukur dengan keputusan ini. Selepas dapat tahu lebih lanjut tentang program di Politeknik Mukah melalui pameran ini, saya yakin ini pilihan yang tepat untuk masa depan saya,” katanya.

Ibu Akmal, Napsiah Zakaria, turut meluahkan rasa bangga.

“Sebagai ibu, saya sangat bersyukur dan bangga dengan kejayaan Akmal. Yang penting bagi saya, anak dapat belajar di tempat yang berkualiti, yuran yang berpatutan dan ada masa depan yang cerah menanti. Apabila tahu Politeknik Mukah menawarkan semua itu, hati saya lega. Saya yakin pilihan Akmal untuk melanjutkan pengajian di sana adalah langkah yang bijak,” ujarnya.

Sementara itu, Nurul Alliah Ezati Isyrend Ismail dari SMK Matu yang turut meraih 8A berkata beliau teruja sebaik mengetahui lebih lanjut tentang institusi itu melalui pameran tersebut.

“Memang tak sangka dapat keputusan macam ini. Bila tahu tentang program dan peluang kerjaya selepas tamat pengajian di Politeknik Mukah, terus saya nampak hala tuju saya. Politeknik Mukah memang pilihan saya selain daripada lokasi yang berdekatan dengan rumah saya,” katanya.

PMU menawarkan pelbagai program akademik di peringkat diploma dan sijil yang dirangka khusus selaras dengan keperluan industri semasa, merangkumi bidang kejuruteraan, teknologi maklumat, perdagangan dan sains kesetiausahaan. Dengan yuran pengajian yang berpatutan, peluang pekerjaan yang luas merentas pelbagai sektor serta persekitaran pembelajaran berasaskan kemahiran praktikal, institusi ini terbukti sebagai destinasi TVET pilihan di Sarawak.

Melalui inisiatif seperti ini, PMU tidak hanya membuka pintu kepada pelajar baharu, malah turut memainkan peranan penting dalam memperkasa agenda TVET Malaysia, sekali gus melahirkan generasi mahir yang bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan masa kini. – PMU

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti