Lawatan TKSU (Dasar) KPT Ke PSP Perkukuh Pendidikan Teknikal & Profesional, Pacu Integriti, Kelestarian Dan Kemahiran Semikonduktor

POLITEKNIK SEBERANG PERAI
28 April 2026
Umum

SEBERANG PERAI, 27 April 2026 – Politeknik Seberang Perai (PSP) dengan penuh hormat dan sukacitanya telah menerima kunjungan rasmi Dato’ Dr. Haji Megat Sany bin Megat Ahmad Supian dalam satu lawatan kerja yang signifikan ke institusi tersebut.

Lawatan berkenaan dimulakan dengan sesi libat urus bersama warga PSP yang menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan serta komunikasi dua hala antara pihak pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan warga institusi. Sesi ini turut membuka ruang perbincangan konstruktif berkaitan aspirasi, cabaran serta usaha penambahbaikan berterusan dalam memperkasakan hala tuju strategik PSP dalam bidang berimpak tinggi.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan kepentingan fokus kepada pembangunan kemahiran tenaga kerja dalam sektor semikonduktor sebagai keutamaan strategik negara. Sehubungan itu, PSP disaran memperkukuh peranannya dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri, khususnya di Pulau Pinang yang merupakan hab utama sektor semikonduktor negara. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga PSP atas komitmen berterusan dalam mendidik dan melahirkan graduan yang berkualiti serta berdaya saing.

Bersempena lawatan tersebut, beliau turut melancarkan sambutan Hari Bumi PSP 2026 sebagai tanda komitmen institusi terhadap kelestarian alam sekitar. Antara aktiviti yang akan dilaksanakan termasuk program Brisk Walk sejauh lima kilometer, Earth Hour, pengumpulan minyak masak terpakai, pelaksanaan Car Free Zone, pelepasan anak ikan ke dalam kolam PSP serta pertandingan landskap tercantik antara jabatan.

Dalam masa yang sama, beliau turut menekankan kepentingan integriti dalam kalangan penjawat awam dengan menyeru agar warga PSP melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah, berpegang kepada nilai kejujuran serta memastikan setiap tugas dilaksanakan secara telus dan berakauntabiliti.

Selain itu, beliau juga berkesempatan mengadakan lawatan ke beberapa makmal dan fasiliti akademik PSP bagi meninjau sendiri keupayaan serta kemudahan yang menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran berkualiti tinggi. Lawatan ini diharapkan dapat memberikan impak positif kepada pembangunan institusi serta memperkukuh kecemerlangan Politeknik Seberang Perai selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti