Warga PMU tingkat kemahiran IR4.0 menerusi Kursus 3D Printer

POLITEKNIK MUKAH
06 May 2026
Akademik

MUKAH, 6 Mei 2026 — Seramai 19 pensyarah dan staf Politeknik Mukah (PMU) berjaya meningkatkan kompetensi teknikal menerusi Kursus Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) berkaitan pencetak tiga dimensi (3D) yang diadakan baru-baru ini.

Kursus sehari anjuran Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM) dengan kerjasama Unit Latihan dan Pendidikan Lanjutan (ULPL) itu memberi pendedahan menyeluruh mengenai teknologi pencetakan 3D selaras dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Menurut pengendali program, Lydia Aling, kursus berkenaan tidak hanya menumpukan aspek teori, malah turut memberi penekanan kepada aplikasi praktikal.

“Peserta didedahkan kepada asas pencetakan 3D, penggunaan perisian reka bentuk berbantu komputer (CAD) serta latihan amali menggunakan mesin pencetak 3D jenis FDM bagi menghasilkan produk daripada reka bentuk digital,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Nur Azuan Kamaruddin berkata, penganjuran kursus tersebut membuka peluang kepada warga PMU untuk mengintegrasikan teknologi baharu dalam pengajaran dan tugasan harian.

“Penguasaan kemahiran ini penting bagi memastikan tenaga pengajar dan staf kekal relevan dengan perkembangan teknologi semasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, peserta, Muhammad Azam Ngah menyifatkan program berkenaan sebagai bermanfaat dan berimpak tinggi terhadap pengajaran.

“Saya kini lebih yakin untuk menerapkan penggunaan teknologi 3D dalam proses pengajaran, khususnya bagi kursus berkaitan kejuruteraan,” katanya.

Seorang lagi peserta, Ag. Aswan Ag. Mohd Kassim, berkata latihan amali yang diberikan membantu meningkatkan kefahaman terhadap proses pencetakan 3D.

“Program ini membuka perspektif baharu dalam penggunaan teknologi bagi tugasan harian,” katanya.

Program tersebut dilihat mencapai objektif dalam meningkatkan kompetensi warga PMU selari dengan keperluan industri semasa.

Penganjur turut berharap inisiatif seumpama ini dapat diteruskan bagi melahirkan tenaga pengajar dan staf yang lebih berdaya saing serta celik teknologi. — PMU

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti