
Johor Bahru, 4 Jun 2026 – Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Inovasi dan Kreativiti PMJB Peringkat Kebangsaan 2026 (PNiCC’26) yang bertemakan “Inspirasi TVET Penggerak Inovatif Digital” telah dirasmikan dengan jayanya oleh YBrs. Dr. Shamsuri bin Abdullah, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti (KPPK). Majlis pada kali ini turut menampilkan YBhg. Profesor Madya Dr Zuraida binti Sulaiman, Ketua, Sustainability Management Research Group, Smart Digital Community Research Alliance, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai Keynote Speaker. Turut hadir ke Majlis Penutup Perasmian PniCC’2026 adalah Profesor Madya Dr. Mahadi bin Bahari, Timbalan Dekan, Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan, Fakulti Pengurusan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Program ini telah berjaya menghimpunkan penyertaan yang amat memberangsangkan iaitu sebanyak 134 kumpulan peserta yang mewakili pelbagai institusi termasuk politeknik, kolej komuniti, sekolah, universiti, dan kolej vokasional dari seluruh negara. Jumlah penyertaan ini mencerminkan sambutan yang luar biasa terhadap inisiatif memupuk budaya inovatif dalam kalangan warga pendidik dan pelajar.
Objektif utama penganjuran PNiCC’26 adalah untuk memupuk budaya kreatif dan inovatif dalam kalangan pelajar serta pensyarah bagi mencapai tahap rekacipta terkini dari segi reka bentuk dan fungsi.
Selain itu, program ini juga berperanan sebagai platform untuk membentangkan hasil inovasi yang selari dengan perkembangan teknologi semasa serta bertujuan mewujudkan pusat kecemerlangan dalam usaha membangunkan produk rekacipta yang kompetitif.
Dalam ucapan perasmiannya, Ketua Pengarah KPPK, YBrs. Dr. Shamsuri bin Abdullah menyatakan bahawa, “Kreativiti dalam TVET bukan sekadar satu pilihan, tetapi suatu keperluan. Inovasi yang lahir daripada institusi pendidikan bukan sahaja menyumbang kepada penyelesaian masalah komuniti, malah memberi nilai tambah kepada pembangunan ekonomi negara”. Beliau turut menyifatkan tema pertandingan tahun ini sebagai amat relevan dalam mendepani perubahan teknologi yang semakin pesat terutamanya dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
Manakala, Pengarah Politeknik METrO Johor Bahru (PMJB), Dr. Supa’at bin Hj Zakaria @ Jawahir dalam ucapan alu-aluannya menegaskan bahawa, “Pertandingan Inovasi dan Kreativiti sebegini merupakan platform yang berkesan dalam membudayakan dan memperkasa kecemerlangan kreativiti dalam kalangan pensyarah dan juga pelajar bagi memantapkan lagi daya fikir serta kualiti diri”. Tambah beliau lagi, “Semoga proses perkongsian idea inovasi dan kreativiti ini dapat menjana transformasi dalam meningkatkan kualiti amalan pendidikan di Malaysia”.

