
MUKAH, 16 Jun 2026 — Penyertaan aktif pelajar dalam arena sukan komuniti terus membuahkan hasil apabila pasukan bola jaring PMU RIFTBORN dari Politeknik Mukah (PMU) berjaya merangkul gelaran naib juara Kejohanan Bola Jaring Liga Sukan Komuniti (LSK) Bahagian Mukah 2026, yang berlangsung di Dewan Serbaguna (DSG) PMU.
Pencapaian tersebut dilihat sebagai bukti keberkesanan usaha PMU dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah mampu menyerlah dalam sukan serta pembangunan sahsiah diri.
Kejohanan yang menghimpunkan 12 pasukan dari seluruh bahagian Mukah itu menyaksikan PMU RIFTBORN mempamerkan aksi konsisten dan semangat juang tinggi sebelum mara ke pentas akhir dan menamatkan saingan sebagai naib juara.
Pengurus dan jurulatih pasukan, Norfaziela Abdul Hashim berkata kejayaan tersebut adalah hasil komitmen serta disiplin tinggi yang ditunjukkan para pemain sepanjang sesi latihan dan kejohanan berlangsung.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa pelajar PMU mampu bersaing dengan pasukan-pasukan lain di peringkat komuniti. Saya amat berbangga dengan kesungguhan mereka yang tidak pernah berputus asa walaupun berdepan saingan sengit.
“Lebih penting, pengalaman seperti ini membantu membentuk keyakinan diri, semangat berpasukan dan kemahiran kepimpinan dalam kalangan pelajar,” katanya.
Antara pemain yang mewakili PMU ialah Tarentiana Terra Robert, Elizabeth Ellyviana Tupang Macdonald, Laura Easther Ngali, Dayang Fitriyah Huwaida Awang Julaihi, Elizabeth Ubong Jermia, Suzana Markus, Everliny Malaya Burny, Marvellene Jemas Lucas Jalang, Shamilla Benya dan Joanna Anis Emperang.
Sementara itu, ketua pasukan, Tarentiana Terra Robert menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil kerjasama dan sokongan padu daripada semua ahli pasukan.
“Setiap pemain memainkan peranan masing-masing dan kami sentiasa memberi semangat antara satu sama lain. Walaupun tidak muncul juara, kejayaan ini tetap menjadi pencapaian yang membanggakan buat kami dan PMU,” katanya.
Pasukan DNC, Kelab Bola Jaring dari Mukah muncul juara kejohanan membawa pulang wang tunai RM500 serta pingat manakala PMU RIFTBORN membawa pulang wang tunai RM300 berserta pingat. Pasukan PRETTY FLOWERS dari SMK Mukah dan FORTY THREE EAGLES dari komuniti Daro pula berkongsi kedudukan tempat ketiga, menerima hadiah wang tunai RM200 serta pingat.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.57 Tellian, Roystin Valentine.
Kejayaan PMU RIFTBORN bukan sahaja mengharumkan nama institusi, malah mencerminkan komitmen PMU dalam melahirkan pelajar yang holistik, berdaya saing, seimbang dari aspek akademik serta kokurikulum, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sukan komuniti di bahagian Mukah. — PMU

