
MERSING, 2 Julai 2026– Kolej Komuniti Jempol menyertai Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pemerkasaan Komuniti Nelayan Melalui Aplikasi Teknologi Solar Photovoltaic (Solar PV) yang berlangsung di Jeti Mersing, Jeti Penyabung dan Jeti Endau, hari ini.
Program yang dilaksanakan menerusi kerjasama antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM), ADTEC JTM Kampus Mersing, IKBN Jitra dan Kolej Komuniti Jempol itu memberi tumpuan kepada aktiviti pemasangan bateri, pemeriksaan prestasi sistem Solar PV serta pemeriksaan pendawaian pada bot nelayan.
Kolej Komuniti Jempol diwakili tiga pensyarah daripada Program Sijil Teknologi Elektrik, iaitu Tn. Hj. Rafie bin Karis, En. Hasnol Azizee bin Muhammad dan En. Azamta Karya Zawal Azi bin Hussin, yang menyumbang kepakaran teknikal sepanjang pelaksanaan program berkenaan.
Program itu bukan sahaja memberi penekanan kepada aspek teknikal, malah menjadi platform perkongsian ilmu, pengalaman dan kepakaran antara institusi pengajian tinggi serta institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam memperkukuh penggunaan teknologi tenaga boleh diperbaharui.
Di samping meningkatkan kecekapan sistem bekalan elektrik bot nelayan, inisiatif berkenaan turut membantu memperluaskan aplikasi teknologi yang lebih cekap, selamat dan lestari dalam kalangan komuniti nelayan.
Kolej Komuniti Jempol merakamkan penghargaan kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) atas jemputan dan kepercayaan yang diberikan untuk bersama-sama menjayakan program berimpak tinggi kepada masyarakat.
Kerjasama strategik seumpama itu diharap dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuh hubungan antara institusi TVET dan industri, sekali gus melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

