

KUALA PILAH, 8 Julai 2026 – Kolej Komuniti Kuala Pilah (KKKP) hari ini melakar satu lagi pencapaian penting apabila berlangsungnya Majlis Penyerahan Projek JPPKK – Naik Taraf Infrastruktur dan Fasiliti Kolej Komuniti Kuala Pilah yang melibatkan penyerahan rasmi projek daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
Majlis penyerahan ini menjadi simbolik kerjasama strategik antara agensi kerajaan dalam memastikan kemudahan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) terus diperkasa melalui penyediaan infrastruktur yang berkualiti, selesa dan memenuhi keperluan pembelajaran semasa.
Penyerahan projek telah disempurnakan oleh wakil Jabatan Kerja Raya (JKR), Ir.Ts. Mohd Zairie bin Zainal Abidin, Jurutera Awam (Bangunan) bagi pihak Jurutera Daerah, Jabatan Kerja Raya Kuala Pilah kepada wakil Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Hj. Tn. Haji Ulaimi bin Yahya, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Encik Amirrudin bin Samsudin, Timbalan Pengarah, Unit Infrastruktur dan Fasiliti, Bahagian Perancangan Program dan Institusi (BPPI), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti serta Encik Mazrul Hisyam bin Ab Malik, Pengarah Kolej Komuniti Kuala Pilah bersama barisan pengurusan dan pegawai-pegawai yang terlibat.
Dalam ucapan alu-aluannya, Encik Mazrul Hisyam bin Ab Malik, Pengarah Kolej Komuniti Kuala Pilah, mengalu-alukan kehadiran delegasi daripada Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta para jemputan ke majlis tersebut. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen dan kerjasama dalam memastikan pelaksanaan projek ini berjalan lancar sehingga berjaya disiapkan.
Projek naik taraf infrastruktur dan fasiliti ini merupakan sebahagian daripada perancangan pembangunan Kolej Komuniti Kuala Pilah dalam memperkukuh keupayaan institusi bagi menyokong penyampaian pendidikan TVET yang berkualiti dan berimpak kepada masyarakat.

Lebih signifikan, projek ini menjadi pemangkin kepada persediaan pembukaan Program Sijil Pastri yang dijadualkan menerima pengambilan pelajar pertama pada penghujung Disember 2026. Program ini bakal menjadi program sijil sepenuh masa kedua yang ditawarkan oleh Kolej Komuniti Kuala Pilah selepas Program Sijil Teknologi Peranti Mudah Alih, sekali gus memperlihatkan perkembangan positif KKKP dalam memperluas penawaran bidang TVET mengikut keperluan industri.
Naik taraf kemudahan ini akan menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, moden dan bersesuaian dengan keperluan latihan dalam bidang pastri. Kemudahan yang tersedia dijangka dapat menyokong proses pengajaran dan pembelajaran secara lebih berkesan serta membantu melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi, kompeten dan memenuhi kehendak industri.
Usaha memperkasa infrastruktur ini selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi melalui JPPKK dalam memastikan institusi politeknik dan kolej komuniti terus menjadi peneraju pendidikan TVET negara yang responsif terhadap perubahan industri serta keperluan semasa.
Majlis diteruskan dengan sesi lawatan ke fasiliti yang telah dinaiktaraf bagi meninjau kemudahan yang telah siap dilaksanakan, diikuti dengan sesi penyerahan dokumen projek sebagai simbolik penyerahan rasmi daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK). Majlis kemudiannya diakhiri dengan sesi bergambar bersama para tetamu kehormat sebagai tanda kenangan atas kejayaan pelaksanaan projek tersebut.
Dengan terlaksananya projek ini, Kolej Komuniti Kuala Pilah terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh ekosistem TVET serta merealisasikan aspirasi melahirkan generasi berkemahiran tinggi demi pembangunan negara.