INTERNATIONAL AGROFOOD AND BIOTECHNOLOGY FESTIVAL @ SPECIAL EDUCATION NEEDS 2026 (iFAMB@SEN2026)

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
20 July 2026
Penyelidikan dan Inovasi

International Agrofood and Biotechnology Festival @ Special Education Needs 2026 (iFAMB@SEN2026) merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Bahagian Kurikulum (BK), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan kerjasama Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS). Bagi edisi tahun 2026, festival ini mendapat sokongan dan penglibatan sebagai penganjur utama daripada Institute of Brunei Technical Education (IBTE), Brunei Darussalam.

Program ini akan berlangsung pada 2 hingga 4 Ogos 2026 bertempat di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan, Pahang secara bersemuka dan atas talian bagi membolehkan penyertaan yang lebih meluas daripada institusi pendidikan, industri serta komuniti antarabangsa.

Tahun 2026 merupakan penganjuran kali ke 12 sejak ia diperkenalkan sebagai platform perkongsian ilmu, penyelidikan dan inovasi dalam bidang agromakanan dan bioindustri. Festival ini telah berkembang menjadi acara tahunan yang melibatkan lima (5) buah politeknik dan tiga belas (13) buah kolej komuniti di bawah bidang agromakanan dan bioindustri, sekali gus memperkukuhkan jaringan kerjasama antara institusi pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) di Malaysia dan luar negara.

Tema Program

Tema “Empowering Every Ability: Agrobiosciences for Sustainable and Inclusive Future” menekankan kepentingan menyediakan peluang yang saksama kepada semua individu termasuk pelajar berkeperluan khas (OKU) untuk terlibat secara aktif dalam bidang agrobioteknologi. Ia mengangkat usaha memperkasa potensi setiap individu melalui pendedahan kepada teknologi moden, inovasi dan ilmu sains pertanian yang mampu menyumbang kepada pembangunan mampan.

Di samping itu, tema ini turut memberi penekanan kepada peranan agro biosains dalam menjamin keselamatan makanan, memelihara kelestarian alam sekitar dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat. Pendekatan inklusif yang diterapkan membuka ruang kepada kolaborasi strategik antara pelajar, pensyarah, penyelidik, industri dan komuniti bagi mewujudkan masa depan yang lebih mampan, progresif dan inklusif untuk semua.

Objektif Program

iFAMB@SEN2026 bertujuan untuk memperkukuh budaya penyelidikan, inovasi dan keusahawanan dalam kalangan warga Politeknik dan Kolej Komuniti, di samping memperkasa pelajar berkeperluan khas (OKU) melalui penyediaan peluang untuk mengetengahkan bakat, potensi dan kebolehan mereka di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Program ini turut menjadi platform untuk memperluas kerjasama akademik, mempamerkan hasil penyelidikan serta meningkatkan penghasilan penulisan ilmiah yang berkualiti dan relevan dengan keperluan industri.

Aktiviti Utama

Pelbagai aktiviti telah dirancang sepanjang iFAMB@SEN2026 termasuk Pertandingan Inovasi Produk, Pembentangan Kertas Penyelidikan, Pertandingan Jualan Produk dan Showcase, serta SEA-NERGY Run dan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR). Aktiviti-aktiviti ini menyediakan ruang kepada peserta untuk mempamerkan inovasi, berkongsi hasil penyelidikan, mengembangkan kemahiran keusahawanan, serta mengukuhkan penglibatan komuniti dan jaringan kerjasama antara institusi pendidikan, industri dan masyarakat.

Penutup

Penganjuran International Agrofood and Biotechnology Festival @ Special Education Needs 2026 (iFAMB@SEN2026) dijangka menjadi platform berprestij yang menghimpunkan penyelidik, akademia, pelajar, industri dan komuniti dari dalam dan luar negara. Festival ini bukan sahaja memperkukuhkan budaya penyelidikan, inovasi dan keusahawanan dalam kalangan warga TVET, malah turut memperkasakan penyertaan pelajar berkeperluan khas dalam bidang agro-biosains dan bioteknologi.

Melalui kerjasama strategik antara IBTE, Bahagian Kurikulum JPPKK dan POLISAS, festival ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan ilmu, inovasi dan jaringan antarabangsa ke arah merealisasikan masa depan yang lebih lestari, inklusif dan berdaya saing.

Penulis :

Siti Nor Shidah binti Kostor, Pengarah Program Bersama, iFAMB@SEN2026

Husna Hawa binti Mohd Hassan, Pengarah Program, iFAMB@SEN2026

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti