BIM Challenge 2026: Pelajar PUO sapu bersih podium

POLITEKNIK UNGKU OMAR
23 July 2026
Akademik

DUNGUN, 23 Julai 2026 – Politeknik Ungku Omar (PUO) membuktikan keunggulan dalam bidang teknologi pembinaan apabila penuntutnya menyapu bersih kedudukan tiga teratas bagi Kategori Architectural BIM (Architecture Students) pada Pertandingan Peringkat Akhir BIM Challenge 2026 di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), semalam.

Kemenangan penuh bermakna itu diraih menerusi Adam Buqhary Yusof yang muncul juara, disusuli Ameirul Hadi Shamsul Bahri di tempat kedua dan Alya Adleena Remlan di tempat ketiga. Selain penguasaan podium utama, wakil PUO turut membawa pulang Anugerah Saguhati bagi kategori sama serta Kategori Architectural BIM for Quantification.

Pengarah PUO, Dr. Salmi Che Meh berkata, pencapaian luar biasa itu merupakan bukti kukuh kualiti pendidikan TVET berasaskan teknologi masa hadapan yang diterapkan di institusi berkenaan.

“Kejayaan anak-anak didik PUO menguasai podium BIM Challenge 2026 ini bukan sekadar kemenangan pertandingan, tetapi penanda aras bahawa graduan TVET kita bersedia mendepani transformasi pendigitalan industri pembinaan negara.

“Komitmen pelajar serta bimbingan berterusan pensyarah terbukti membuahkan hasil. Ini refleksi dedikasi warga PUO dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang berdaya saing dan relevan dengan kehendak industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pertandingan anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) bersama PSMZA dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB Malaysia) itu menghimpunkan 197 peserta IPT dari seluruh negara sebelum 89 daripadanya berentap di peringkat akhir.

Majlis penutupan disempurnakan oleh Pengarah Kanan (Akademik) JPPKK, Dr. Mohd Daud Isa di Dewan Dagang, PSMZA.

Kejayaan ini dijangka terus memarakkan semangat warga PUO dalam memperkasa agenda pendigitalan TVET serta melahirkan graduan berkaliber tinggi bagi pasaran kerja tempatan dan antarabangsa.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti