
PERMATANG PAUH, 25 Julai 2026 – YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, hari ini menyempurnakan peluncuran Program Diploma Profesional Teknologi Logistik dan Halal (DPTLH) bersempena Penang International Halal Expo (PIHEX) 2026 di Politeknik Seberang Perai (PSP). Program ini merupakan program diploma profesional pertama yang dilaksanakan di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), sekali gus menjadikan PSP sebagai institusi perintis dalam pembangunan bakat profesional bagi sektor logistik halal negara.
Dalam majlis tersebut, Perdana Menteri turut menyempurnakan simbolik peluncuran DPTLH melalui penyerahan playcard oleh Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri bin Abdullah, sebagai manifestasi komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui JPPKK dan Politeknik Seberang Perai dalam memperkukuh pembangunan modal insan yang memenuhi keperluan industri.
DPTLH merupakan program latihan profesional berasaskan industri (industry-driven) yang dibangunkan dengan kerjasama 31 agensi dan rakan strategik industri bagi memastikan kurikulumnya memenuhi keperluan semasa sektor logistik halal. Program ini disokong oleh Halal and Logistics Technology Excellence Centre (HALTEC) sebagai pusat kecemerlangan dalam pembangunan latihan, inovasi dan kolaborasi industri.
Program ini merangkumi empat modul utama, iaitu Smart Warehouse, Digital Apps Development, Smart Drone Technology dan Halal Executive. Peserta turut berpeluang memperoleh sijil kompetensi industri yang dikeluarkan oleh rakan strategik industri, sekali gus meningkatkan kompetensi dan kebolehpasaran mereka dalam pasaran pekerjaan.
DPTLH dilaksanakan secara fleksibel selama tiga (3) bulan bersamaan 192 jam pembelajaran, dengan sesi pengajian dijalankan pada setiap hujung minggu, sekali gus memberi peluang kepada golongan bekerja untuk meningkatkan kemahiran tanpa menjejaskan komitmen kerjaya. Pengambilan pertama akan bermula pada September 2026 dan diteruskan sepanjang tahun mengikut permintaan industri.
Program ini terbuka kepada belia berumur 18 tahun ke atas yang mempunyai kemahiran asas membaca dan menulis, dengan tumpuan kepada belia di Parlimen Permatang Pauh serta golongan B40 bagi memperluas akses kepada pendidikan dan latihan profesional yang berkualiti serta meningkatkan peluang pekerjaan dalam sektor logistik halal.
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri bin Abdullah, berkata pelaksanaan DPTLH membuktikan komitmen KPT melalui JPPKK dalam merealisasikan Iltizam 1 Kementerian Pendidikan Tinggi, iaitu memperkasa Professional Technical Education (PTE) melalui penyediaan program yang responsif terhadap perkembangan teknologi, berteraskan keperluan industri dan mampu melahirkan tenaga kerja profesional yang berdaya saing.
“Program Diploma Profesional Teknologi Logistik dan Halal bukan sahaja memperkukuh pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, malah menjadi manifestasi pelaksanaan Iltizam 1 Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memperkasa Professional Technical Education (PTE) melalui kerjasama erat antara institusi pendidikan dan industri. Politeknik Seberang Perai sebagai institusi perintis diyakini mampu menjadi model rujukan dalam pembangunan program diploma profesional berasaskan industri, sekali gus menyokong agenda negara sebagai hab logistik dan halal bertaraf global,” katanya.
Pelaksanaan DPTLH mengukuhkan peranan Politeknik Seberang Perai sebagai peneraju pembangunan bakat dalam bidang logistik halal dan menjadi penanda aras kepada pelaksanaan program diploma profesional berasaskan industri di institusi lain di bawah JPPKK, selaras dengan aspirasi Malaysia untuk memperkukuh kedudukannya sebagai hab logistik dan halal bertaraf global.

