
Johor Bahru, 28 Julai 2026 – Politeknik METrO Johor Bahru (PMJB) telah berjaya menganjurkan Karnival Kepimpinan, Keusahawanan & Kesejahteraan Keluarga 2026 dengan kerjasama pihak KEMAS Parlimen Johor Bahru dengan penuh meriah, melibatkan penyertaan warga PMJB, agensi kerajaan, usahawan serta komuniti setempat.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Haji Mohd Hairi bin Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Puan Zuriana binti Misni, Pembantu Pembangunan Masyarakat Kanan Pembangunan Desa Parlimen Johor Bahru; Encik Mohd Adnan bin Salka, Ketua Kampung Kurnia; serta Encik Mohamed Farid bin Mohamed Hadi, Pengerusi Komuniti KEMAS Parlimen Johor Bahru.
Dalam ucapannya, Pengarah PMJB, Dr. Supa’at bin Hj. Zakaria @ Jawahir menegaskan bahawa kerjasama antara institusi pendidikan dan agensi kerajaan merupakan pemangkin kepada pembangunan komuniti yang lebih inklusif.
“Jalinan kolaborasi strategik bersama KEMAS Parlimen Johor Bahru membuktikan bahawa institusi pendidikan dan agensi kerajaan mampu bergerak seiring demi kesejahteraan masyarakat setempat. PMJB juga berhasrat untuk terus dikenali bukan sahaja sebagai institusi pengajian tinggi, malah sebagai rakan komuniti yang sentiasa prihatin dan bersedia menyumbang bakti.”
Sementara itu, Yang Berhormat Tuan Haji Mohd Hairi bin Mad Shah menyifatkan penganjuran karnival ini sebagai satu platform kolaboratif yang signifikan kerana berjaya menghubungkan institusi pendidikan dengan masyarakat melalui penglibatan pelbagai agensi dan rakan strategik.
“Melalui gabungan tenaga antara KEMAS dan PMJB, kita dapat melihat bagaimana sebuah institusi pendidikan tinggi bukan sahaja berfungsi sebagai pusat ilmu di dalam dewan kuliah, malah turun padang menyatu dengan denyut nadi masyarakat.”
Sebagai simbol komitmen berterusan Kerajaan Negeri Johor dalam menyokong pembangunan belia dan institusi TVET, turut berlangsung Majlis Penyerahan Simbolik Geran Kerajaan Negeri Johor bernilai RM5,000 kepada Politeknik METrO Johor Bahru (PMJB) yang disampaikan oleh Yang Berhormat Tuan Haji Mohd Hairi bin Mad Shah. Geran berbentuk bantuan peralatan sukan tersebut dijangka memperkukuh pelaksanaan aktiviti kokurikulum, membudayakan gaya hidup sihat serta menyokong pembangunan fizikal dan kesejahteraan pelajar PMJB.
Melalui geran tersebut, PMJB telah menerima beberapa peralatan kecergasan bagi melengkapkan kemudahan sukan institusi, iaitu 1 unit Treadmill Body Expert, 1 unit Single Gym Station (Multi Function Station), dumbbell seberat 75 kg, 1 unit Horizontal Dumbbell Rack, serta hadiah eksklusif daripada Body Expert yang merangkumi 2 unit skipping rope, 1 unit yoga ball dan 1 unit yoga mat. Sumbangan ini diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga PMJB dalam menggalakkan amalan gaya hidup sihat serta meningkatkan kecergasan fizikal.
Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan antaranya Senamrobik Karnival, Jualan Rahmah, Gerai Keusahawanan, Game Psikologi, Kursus Smartphone Photography for Business, Kursus Penghasilan Video AI, serta program kesedaran bersama AADK dan PDRM berkaitan bahaya dadah, keselamatan diri dan jenayah persekitaran.
Penganjuran karnival ini menjadi platform untuk memperkukuh nilai kepimpinan, keusahawanan dan kesejahteraan keluarga, di samping mengeratkan hubungan strategik antara PMJB, agensi kerajaan, usahawan dan komuniti setempat. Semoga program seumpama ini terus menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang berdaya saing, berkemahiran dan sejahtera.

Yang Berhormat Tuan Haji Mohd Hairi bin Mad Shah menyantuni pelajar PMJB yang turut terlibat dalam gerai Keusahawanan, turut mengiringi beliau adalah Dr. Supa’at bin Hj. Zakaria @ Jawahir, Pengarah PMJB.