
JERANTUT, 20 OGOS 2026 – Kolej Komuniti Jerantut dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Pahang dan Majlis Daerah Jerantut telah menganjurkan Pertandingan Inovasi Sisa Lestari (INSIS) sempena Karnival Eco-Culture 2026 bertempat di Dewan Majlis Daerah Jerantut, hari ini. Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Encik Abd Karim bin Salim, Pengarah Bahagian Sumber Manusia, SWCorp, yang mewakili Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) SWCorp, Tuan Syahrul Nizam bin Saleh.
Penganjuran Pertandingan Inovasi Sisa Lestari (INSIS) ini merupakan kali pertama dianjurkan secara bersama antara SWCorp dan Kolej Komuniti Jerantut di peringkat kebangsaan, sekali gus menjadi satu platform baharu dalam memperkasakan pengurusan sisa pepejal melalui pendekatan inovasi, kreativiti dan kelestarian. Program ini menghimpunkan penyertaan sebanyak 54 penyertaan daripada 19 buah institusi pendidikan dari seluruh Malaysia, yang terdiri daripada Politeknik, Kolej Komuniti, ADTEC dan IKTBN. Penglibatan institusi dari pelbagai negeri ini memperlihatkan komitmen institusi pendidikan dan TVET dalam menyokong usaha memperkukuhkan pengurusan sisa pepejal serta melahirkan generasi yang lebih kreatif dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Pertandingan ini diwujudkan bagi meningkatkan kesedaran serta membudayakan amalan kelestarian dalam kalangan generasi muda, khususnya melalui penglibatan pelajar daripada institusi pengajian tinggi, politeknik, kolej komuniti dan institusi TVET. Pada masa yang sama, pertandingan ini menggalakkan peserta melihat sisa bukan sekadar bahan buangan, sebaliknya sebagai sumber yang masih mempunyai potensi untuk diinovasikan dan diberikan nilai tambah. Sebanyak empat kategori pertandingan telah diketengahkan dalam INSIS, iaitu Inovasi Sisa Makanan, Inovasi Sisa Selain Makanan, Arca serta Fesyen dan Seni Kreatif. Kepelbagaian kategori ini memberi ruang kepada peserta untuk mengetengahkan idea, kreativiti dan kemahiran masing-masing dalam menghasilkan inovasi daripada bahan sisa.
Menurut SWCorp, pendekatan inovasi terhadap sisa amat penting dalam usaha mengubah perspektif masyarakat terhadap bahan buangan. Sisa yang sebelum ini dianggap tidak bernilai boleh diberikan kehidupan kedua melalui proses guna semula, kitar semula, reka bentuk semula dan penghasilan produk baharu yang mempunyai nilai guna serta berpotensi mempunyai nilai ekonomi.Pendekatan ini turut menyokong konsep ekonomi kitaran, yang memberi penekanan kepada usaha memanjangkan hayat bahan, mengurangkan pembaziran sumber serta mengurangkan jumlah sisa yang berakhir di tapak pelupusan. Penganjuran INSIS di peringkat kebangsaan ini juga dilihat sebagai satu platform penting untuk mempertemukan institusi pendidikan dan TVET dengan agensi kerajaan dalam usaha memperkasakan pendidikan serta amalan pengurusan sisa pepejal secara lebih praktikal.
Pertandingan Inovasi Sisa Lestari Peringkat Kebangsaan (INSIS 2026) melabuhkan tirai dengan kejayaan Re-Hand: Low-Cost Prosthetic Hand Using Recycled PET Bottles dari ADTEC Jerantut yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Utama dan membawa pulang trofi dan wang tunai sebanyak RM1000. Dalam pada itu, Anugerah Komersial INSIS 2026 pula menjadi milik Sambal Kulit Pisang daripada Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bachok dan membawa pulang trofi dan wang tunai sebanyak RM500. Pengiktirafan tersebut membuktikan keunggulan inovasi berasaskan kelestarian yang bukan sahaja memberi nilai tambah kepada bahan buangan, malah mempunyai potensi untuk menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat. Kejayaan ini diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada lebih banyak pihak untuk menghasilkan inovasi yang bukan sahaja menyelesaikan permasalahan sisa, tetapi turut mempunyai nilai sosial, ekonomi dan potensi komersial. Tahniah diucapkan kepada para pemenang serta semua peserta INSIS 2026 atas komitmen, kreativiti dan usaha dalam memperkasa inovasi ke arah masa depan yang lebih lestari.

