Kerdil fizikal bukan penghalang, Muhammad Firdaus buktikan kejayaan milik semua

KOLEJ KOMUNITI KUALA PILAH
22 September 2026
Akademik

PORT DICKSON, 2026 – Keterbatasan fizikal bukan penghalang untuk mencapai kejayaan. Itulah yang dibuktikan oleh Muhammad Firdaus bin Nor Azmy, graduan Sijil Teknologi Peranti Mudah Alih, Kolej Komuniti Kuala Pilah (KKKP), apabila beliau diraikan dalam Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Selatan 2026 yang berlangsung di Politeknik Premier Port Dickson.

Graduan bagi Sesi II 2023 itu merupakan seorang Orang Kurang Upaya (OKU) daripada kategori Orang Kerdil, namun keadaan tersebut tidak pernah menghalang beliau untuk menimba ilmu, membina kemahiran dan melangkah ke alam pekerjaan.

Lebih membanggakan, ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang mengikuti pengajian di KKKP kini dimanfaatkan dalam bidang yang diceburinya sebagai pembaiki telefon bimbit.

Perjalanan Daus menjadi bukti bahawa pendidikan dan kemahiran TVET mampu membuka ruang kepada setiap individu untuk membina masa depan berdasarkan potensi dan kebolehan masing-masing.

Berkongsi pesanan kepada pembaca, Daus berkata, jangan pernah takut untuk bermimpi besar dan jangan mudah berputus asa apabila berdepan dengan ujian.

Menurut beliau, setiap cabaran yang dilalui dalam kehidupan sebenarnya mendidik seseorang untuk menjadi lebih kuat, matang dan yakin pada diri sendiri.

“Kejayaan tidak datang dengan mudah. Ada masa kita akan jatuh, kecewa dan rasa seperti ingin mengalah. Namun, selagi kita terus berusaha dan tidak berhenti melangkah, pasti ada jalan untuk kita mencapai impian.”

Daus turut menasihatkan agar seseorang tidak malu untuk bermula dari bawah kerana setiap langkah kecil yang diambil hari ini mungkin menjadi titik permulaan kepada kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.

Kisah Muhammad Firdaus bukan sekadar sebuah cerita kejayaan seorang graduan, malah menjadi inspirasi kepada warga KKKP dan masyarakat bahawa kekurangan bukan alasan untuk berhenti mengejar impian.

Tahniah diucapkan kepada Muhammad Firdaus bin Nor Azmy atas kejayaan menamatkan pengajian dan melangkah ke alam pekerjaan. Semoga kejayaan ini menjadi permulaan kepada lebih banyak pencapaian pada masa hadapan.

“Keterbatasan bukan penghalang untuk berjaya. Terus melangkah, kerana setiap usaha pasti ada nilainya.”

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti