
Port Dickson, 13 September 2026 – Suasana Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Selatan 2026 diselubungi detik penuh emosi dan kebanggaan apabila tiga beradik dari keluarga Johari berjaya menamatkan pengajian dan digraduasikan secara serentak.
Tiga beradik berkenaan ialah Nurhaffiqa Shahira binti Johari, graduan Diploma Perbankan Islam, Nurhaizie Haziqa binti Johari dan Muhammad Haffiz Haizal bin Johari, merupakan graduan Diploma Pengurusan Logistik dan Rantai Bekalan.
Mewakili adik-beradiknya, Nurhaffiqa Shahira menzahirkan rasa syukur atas pencapaian gembira ini. Beliau menyifatkan momen menaikkan gulungan diploma bersama-sama sebagai kenangan terindah buat keluarga serta berharap kejayaan mereka dapat menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda dan adik-beradik lain untuk terus berusaha mengejar impian.
Sepanjang tempoh pengajian, mereka saling menyokong antara satu sama lain. Menurut Nurhaizie Haziqa dan Nurhaffiqa Shahira, pengalaman menuntut ilmu bersama-sama mengajar mereka nilai kerjasama, kesabaran, serta kecekalan dalam menghadapi cabaran akademik.
Kejayaan ini turut didedikasikan sepenuhnya kepada kedua ibu bapa mereka yang banyak berkorban dari segi masa, tenaga dan kewangan demi memastikan pendidikan anak-anak terjamin.
“Kejayaan ini bukan sekadar milik kami bertiga, tetapi merupakan hadiah dan milik kedua ibu bapa kami yang tidak pernah jemu memberi sokongan dan kasih sayang. Kami bertekad untuk menjadi anak yang berbakti dan bertanggungjawab,” ujar Haffiqa.
Majlis graduasi serentak ini menjadi bukti bahawa ikatan kekeluargaan dan sokongan moral merupakan pemangkin utama dalam mencapai kecemerlangan akademik.
