
KOTA TINGGI, 10 Oktober 2026 – Kolej Komuniti Kota Tinggi (KKKTJ) terus menyokong usaha memperkasa wanita melalui penglibatan dalam Program PERANTIS Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) 2026 menerusi Sesi 2: Pemasaran Digital Bagi Usahawan Kecil Wanita yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, JKR (D) Kota Tinggi.
Program bertemakan “Pemartabatan Pemimpin Wanita Sebagai Nadi Ekonomi Luar Bandar” itu memberi penekanan kepada peningkatan kemahiran pemasaran digital sebagai salah satu pemangkin pembangunan dan daya saing usahawan wanita dalam mendepani perkembangan ekonomi digital.
Lebih bermakna, seramai 15 orang pelajar perempuan Kolej Komuniti Kota Tinggi turut mengambil bahagian dalam program tersebut. Penglibatan mereka membuka ruang untuk memperoleh pendedahan secara langsung mengenai dunia keusahawanan, pemasaran digital serta kepentingan teknologi dalam membina perniagaan yang lebih berdaya tahan dan kompetitif.
Penyertaan tersebut turut memberi nilai tambah kepada pengalaman pembelajaran pelajar di luar bilik kuliah, selain memperluas pemahaman mereka terhadap perkembangan semasa dalam bidang keusahawanan dan penggunaan teknologi sebagai medium untuk meneroka peluang ekonomi.
Program turut diserikan dengan kehadiran YBrs. Puan Sharini binti Zakaria, Pengarah Kolej Komuniti Kota Tinggi, yang berkesempatan menyantuni para peserta serta menyampaikan kata-kata motivasi dan semangat kepada golongan wanita dan pelajar yang hadir.
Kehadiran beliau menjadi suntikan inspirasi kepada peserta untuk terus yakin membina potensi diri, berani meneroka peluang serta menjadikan ilmu dan kemahiran sebagai kekuatan untuk melangkah lebih jauh dalam bidang keusahawanan dan ekonomi digital.
Program PERANTIS turut membawa aspirasi untuk memperluas jaringan perkongsian ilmu serta membangunkan bakat kepimpinan wanita melalui bimbingan dan perkongsian bersama tokoh serta pihak berkepentingan.
Bagi sesi berkenaan, KKKTJ turut dilibatkan sebagai rakan kerjasama bagi pelaksanaan Pemasaran Digital Bagi Usahawan Kecil Wanita di Kota Tinggi, sekali gus memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dengan komuniti melalui perkongsian ilmu dan kepakaran.
Kolej Komuniti Kota Tinggi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Puan Hasfariah binti Abdul Ghani dan Dr. Hooshmand Palany atas peluang, kepercayaan serta ruang kerjasama yang diberikan kepada institusi untuk bersama-sama menjayakan program tersebut.
Jalinan kerjasama ini diharap dapat terus diperkukuh dalam usaha melahirkan lebih ramai wanita yang berkemahiran, berkeyakinan dan berdaya saing, di samping membuka ruang kepada generasi muda untuk meneroka potensi dalam bidang keusahawanan dan ekonomi digital.
Penglibatan dalam Program PERANTIS 2026 turut memperlihatkan peranan Kolej Komuniti Kota Tinggi dalam mendekatkan pendidikan TVET dengan masyarakat serta memperluas peluang pembangunan ilmu, kemahiran dan modal insan yang relevan dengan keperluan semasa.


