
Bukan sekadar mengasah kemahiran di bengkel dan bilik kuliah, dua mahasiswa Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) turut membuktikan bakat mereka mampu bersinar di gelanggang antarabangsa.
Dhia Qurratu Ain Mazran dan Nur Diana Karmila Mohd Danial masing-masing membawa pulang pingat gangsa pada kejohanan Open Pencak Silat Wiralaga International Championship 2026 yang berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, baru-baru ini.
Kejayaan itu diraih dalam saingan yang turut menampilkan peserta dari Indonesia dan Australia, selain pasukan tempatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PTSB Fighter dan Bunga Silat.
Bagi Dhia Qurratu Ain, persaingan sengit dengan pesilat luar negara menguji ketahanan mentalnya, namun pesanan jurulatih supaya kekal fokus dan tenang membantu beliau menampilkan aksi terbaik.
“Saya amat bersyukur dan tidak menyangka mampu berdiri di podium kali ini.
“Persaingan daripada pesilat luar negara seperti Indonesia dan Australia amat sengit, namun pesanan jurulatih untuk kekal fokus dan tenang menjadi kunci utama untuk saya membawa pulang pingat gangsa,” katanya.
Nur Diana Karmila pula menyifatkan pingat berkenaan sebagai hasil kerja keras bersama keluarga, pengurusan POLIMAS dan barisan kejurulatihan yang sentiasa memberikan sokongan.
“Pingat gangsa ini saya dedikasikan buat ibu bapa, pihak pengurusan POLIMAS, serta barisan jurulatih yang tidak pernah jemu melatih kami siang dan malam.
“Kemenangan ini membuktikan bahawa pelajar TVET juga mampu bersaing dan menyerlah dalam bidang sukan di peringkat global,” katanya.
Kejayaan kedua-dua mahasiswa itu turut mendapat penghargaan Pengarah POLIMAS, Wan Zulkifly Wan Zakaria yang menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai bukti mahasiswa TVET mampu menyerlah dalam pelbagai bidang.
“Pihak pengurusan tertinggi POLIMAS amat bangga dengan pencapaian Dhia Qurratu Ain dan Nur Diana Karmila.
“Kejayaan merangkul dua pingat gangsa di pentas Open Pencak Silat Wiralaga International Championship 2026 yang turut disertai oleh pesilat antarabangsa ini membuktikan bahawa pelajar POLIMAS bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan TVET, malah mampu berdiri sama tinggi dengan jaguh sukan lain di peringkat global,” katanya.
Di sebalik aksi kedua-dua pesilat itu, persiapan rapi menjadi antara faktor penting yang membantu mereka berdepan saingan sepanjang lima hari kejohanan.
Pensyarah Jabatan Matematik, Sains dan Komputer (JMSK) POLIMAS, Akmar Alias yang juga Pegawai Pengiring merangkap Jurulatih Buah Teras berkata, disiplin dan ketahanan mental kedua-dua mahasiswa menjadi antara kekuatan utama pasukan.
“Kejayaan meraih dua pingat gangsa ini adalah hasil disiplin tinggi dan pengorbanan masa yang dicurahkan oleh mereka berdua semasa sesi latihan intensif.
“Walaupun berdepan dengan pesilat berpengalaman daripada pasukan PDRM, ATM serta peserta antarabangsa, mereka tidak gentar dan mempamerkan aksi buah teras serta olahraga yang cukup matang,” katanya.
Beliau dibantu jurulatih luar, Nor Hisyam Hassan yang bertindak sebagai Jurulatih Silat Olahraga POLIMAS dalam mempersiapkan pasukan menghadapi kejohanan berkenaan.
Penyertaan POLIMAS dalam kejohanan itu bukan sahaja membuka ruang kepada mahasiswa menguji kemampuan di peringkat antarabangsa, malah memberi pengalaman berharga dalam berdepan peserta daripada pelbagai latar dan tahap persaingan.
Bagi Dhia Qurratu Ain dan Nur Diana Karmila, dua pingat gangsa itu mungkin sekadar permulaan kepada perjalanan lebih jauh dalam dunia persilatan.
Namun, satu perkara sudah dibuktikan bahawa mahasiswa TVET juga mampu turun ke gelanggang, bersaing dan berdiri di podium bersama peserta terbaik dari dalam dan luar negara.
