PTSB dan Micron perkukuh kompetensi graduan TVET melalui pensijilan SAT-LITE

POLITEKNIK TUANKU SULTANAH BAHIYAH
03 November 2026
Kolaborasi

Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) terus mengorak langkah proaktif dalam memperkasa kebolehpasaran graduan TVET melalui penganjuran Program Micron SAT-LITE Certification dengan kerjasama Micron Technology Malaysia. Inisiatif strategik ini melibatkan penyertaan 39 orang pelajar daripada program Diploma Kejuruteraan Elektronik (DEE) dan Diploma Kejuruteraan Elektronik Komputer (DTK) di bawah Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE).

Program berstruktur selama lima hari ini dirangka khusus untuk merapatkan jurang antara silibus akademik dan tuntutan semasa industri. Sepanjang empat hari pertama, sesi latihan intensif di kampus dikendalikan oleh lima pensyarah JKE yang telah menerima latihan modul SAT-LITE secara langsung daripada pihak Micron. Silibus pembelajaran memberikan penekanan kepada tiga teras utama industri: Semiconductor Manufacturing Fundamentals, IC Package Testing and Materials, serta Reliability, Quality and Process Control.

Mengulas mengenai kejayaan penganjuran program ini, Pengarah PTSB, Norlili Juwita Arshad, menyifatkan inisiatif tersebut sebagai satu pencapaian penting dalam memperkukuh ekosistem TVET negara.

“Kerjasama strategik bersama Micron Technology Malaysia ini merupakan satu pencapaian yang amat bermakna bagi PTSB. Ia membuktikan komitmen berterusan kita dalam menterjemahkan matlamat pemerkasaan TVET ke arah yang lebih praktikal dan berpaksikan keperluan sebenar industri. Dengan perkembangan pesat sektor semikonduktor di peringkat global, pendedahan awal berstruktur seumpama ini sangat kritikal bagi memastikan kurikulum dan kemahiran pelajar kita sentiasa relevan serta seiring dengan kemajuan teknologi semasa,” kata beliau.

“Lebih daripada sekadar pemindahan ilmu, program pensijilan SAT-LITE ini adalah pelaburan jangka panjang untuk masa hadapan pelajar kita. Pengalaman berharga menghubungkan teori di bilik kuliah dengan amalan sebenar industri pastinya memberi kelebihan kompetitif yang tinggi kepada graduan PTSB. Kami berharap inisiatif ini akan mencetuskan inspirasi kepada mereka untuk terus berdaya saing, bukan sekadar untuk memenuhi pasaran kerja, malah bersedia menjadi tenaga kerja teknikal yang memacu sektor pembuatan semikonduktor negara pada masa akan datang,” tambahnya lagi.

Melalui pendekatan berimpak tinggi ini, para pelajar mendalami aspek teknikal yang kritikal termasuk protokol bilik bersih (cleanroom protocols), proses pemasangan dan pembungkusan cip, bahan semikonduktor, analisis kegagalan serta prosedur kawalan kualiti. Pengetahuan ini seterusnya diterjemahkan ke persekitaran kerja sebenar melalui lawatan industri eksklusif ke fasiliti Micron Technology Malaysia pada hari terakhir program.

Sesi lawatan tersebut menjadi platform pendedahan berharga bagi pelajar untuk meneliti secara dekat budaya kerja dalam sebuah syarikat teknologi global khususnya dalam sektor pembuatan semikonduktor backend. Pengiktirafan pelajar turut dimeterai melalui majlis penganugerahan sijil Micron SAT-LITE Certification sebagai bukti kelayakan dan kesediaan mereka melangkah ke alam kerjaya.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti