MATEPM 2026: Pelajar PMJB raih tempat ketiga dalam Worldskills Malaysia University Challenge (WSMUC)

POLITEKNIK METRO JOHOR BAHRU
25 November 2026
Aktiviti Pelajar, Umum

Melaka, 5 November 2026 – YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri, telah menyempurnakan penyampaian Piala Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri sempena Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) 2026 yang menghimpunkan lebih 2,500 warga kemahiran dari seluruh negara. Majlis berprestij ini berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

MATEPM merupakan platform pengiktirafan berprestij negara dalam menghargai kecemerlangan bakat, kemahiran dan kompetensi warga TVET melalui pelbagai kategori pertandingan WorldSkills Malaysia, termasuk WorldSkills Malaysia University Challenge (WSMUC).

Dalam pertandingan WSMUC 2026 bagi bidang Logistics and Freight Forwarding, Politeknik METrO Johor Bahru (PMJB) telah diwakili oleh dua orang pelajar, iaitu Dellin Gabriella Anak Bina yang berjaya meraih tempat Ketiga, serta Zety Azreen Binti Mohamad Nasir yang turut membawa cabaran PMJB dalam pertandingan tersebut.

Kedua-dua peserta telah mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada jurulatih, Puan Siti Fatimah Zahra binti Abdul Hamid dan Encik Mohamad Asyraf bin Idris.

Kejayaan ini membuktikan keupayaan pelajar PMJB dalam menguasai kemahiran berstandard industri serta bersaing di peringkat kebangsaan. Ia juga mencerminkan komitmen berterusan PMJB dalam memperkasa bakat pelajar dan melahirkan graduan TVET yang kompeten, berkemahiran tinggi serta berdaya saing.

Tahniah kepada Dellin, Zety dan jurulatih atas usaha serta komitmen dalam mengharumkan nama Politeknik METrO Johor Bahru! Semoga terus melakar kejayaan pada masa hadapan.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti