6 September 2023, Sebarang Jaya – Anak ke lapan daripada sebelas adik-beradik, sama sekali tidak menyangka bergraduasi di tempat bertugas.
Walaupun telah berumah tangga dan mempunyai 4 orang anak, namun baginya ilmu perlu dituntut dan tiada istilah terlambat. Kita hanya perlu bijak mengurus masa dan manfaatkannya ke arah kejayaan hidup.
Muhamad Riduan bin Jaapar, 42, memulakan pengajian pertamanya di Politeknik Ungku Omar dalam Sijil Jentera Am pada tahun 1999. Setelah itu beliau bertugas Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor Cawangan Muar sebagai Juruteknik dan kemudiannya dinaikkan pangkat ke Penolong jurutera. Setelah itu, beliau bertukar ke Kolej Vokasional Balik Pulau pada tahun 2005. Pada Mac 2016, beliau merasakan kemahiran dan ilmu yang ada perlu dipertingkatkan seiring keperluan teknologi semasa dan beliau membuat keputusan untuk menyambung pengajian dengan mengambil Cuti Belajar selama tiga (3) tahun.
Katanya lagi yang memperoleh Himpunan Purata Nilai Mata (HPNM) 3.78, beliau memilih Program Diploma Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Seberang Perai kerana ingin mendalami ilmu dalam bidang tersebut. Beliau memulakan pengajian pada tahun 2019 dan taman pada tahun 2022. Setelah tamat pengajian pada tahun 2022, beliau ditempatkan bertugas sementara di Jabatan Kerja Raya Cawangan Mekanikal Negeri Kedah pada Januari 2023 sehingga April 2023.
Menurut Riduan, “Pada Mei 2023, saya menerima surat penempatan baharu, dan sama sekali tidak menyangka yang saya akan menabur bakti di tempat saya belajar. Saya begitu teruja hari ini kerana menerima diploma di tempat saya bertugas. Saya akan mengaplikasikan segala ilmu dan kemahiran yang telah diperolehi untuk menjalankan tugas dengan sebaik mungkin di PSP. InsyaAllah.”
Penganjuran Majlis Konvokesyen (PSP) Ke-22 dengan tema ‘PSP Unggul Memacu Aspirasi TVET Berkualiti’ ini menyaksikan seramai 1,951 graduan bagi 13 program termasuk Diploma Profesional menerima diploma masing-masing pada kali ini. Konvokesyen kali ini juga disambut dengan sambutan 25 tahun Jubli Perak Politeknik Seberang Perai.
Pengarah PSP, Roseliza Dato’ Shaari, berkata bagi memastikan graduan yang dilahirkan oleh PSP sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi terkini. Kolaborasi bersama industri sentiasa dipergiat supaya kurikulum yang ada di PSP bersifat ‘Industry Driven Curriculum’ dan graduan yang tamat pengajian di PSP mempunyai kebolehpasaran yang tinggi.
“Terbukti hari ini dalam tempoh 25 tahun jubli perak, PSP telah melahirkan 36,775 graduan di mana kadar kebolehpasaran graduan PSP sendiri adalah melebihi 90 peratus berturut-turut untuk 5 tahun dan majoriti graduan berjaya mendapatkan pekerjaan sebaik sahaja mereka menamatkan pengajian atau membuka perniagaan sendiri.
“Justeru tema yang dipilih kali ini amat bertepatan dengan kualiti pencapaian yang telah dikecapi,” katanya.