
JASIN: Kejayaan graduan Kolej Komuniti Jasin (KKJS), Muhammad Asymawi bin Abd Jalil, 21, menerima Anugerah Pengarah sempena Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Selatan Tahun 2026, Sidang Kolej Komuniti Negeri Melaka, menjadi detik cukup bermakna buat dirinya dan keluarga.
Lebih membanggakan, Muhammad Asymawi yang menamatkan pengajian dalam Program Sistem Komputer dan Rangkaian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.93, merupakan antara 129 graduan Kolej Komuniti Jasin yang diraikan pada majlis konvokesyen tersebut.
Bagi anak kepada pasangan yang masing-masing menjalankan perniagaan sendiri dan bertugas sebagai penjawat awam di Marang, Terengganu, pencapaian itu bukan sekadar sebuah pengiktirafan, malah menjadi bukti bahawa usaha, doa dan sokongan keluarga mampu menjadi kekuatan untuk terus melangkah lebih jauh.
Muhammad Asymawi yang memulakan pengajian di Kolej Komuniti Jasin pada tahun 2023 mengakui amat bersyukur atas pencapaian yang diraih.
“Saya sangat bersyukur ke hadrat Ilahi atas kurniaan yang tidak terhingga ini. Sejujurnya, saya berasa amat gembira kerana akhirnya saya mampu membanggakan kedua-dua ibu bapa saya,” katanya.
Sepanjang berada di KKJS, beliau bukan sahaja memberi tumpuan kepada akademik, malah aktif melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang membuka ruang untuk mengembangkan potensi diri.
Antara pengalaman yang paling bermakna ialah apabila beliau diberi kepercayaan memegang jawatan sebagai Naib Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) KKJS, selain menyertai pertandingan FIRA Robot Sumo.
Menurutnya, penglibatan dalam aktiviti tersebut memberikan peluang untuk memperoleh pengalaman, ilmu dan kemahiran baharu, khususnya dalam aspek kepimpinan dan teknologi.
Namun begitu, perjalanan mencapai kejayaan bukanlah tanpa cabaran. Muhammad Asymawi mengakui pernah berdepan perasaan buntu ketika menghadapi pelbagai cabaran sepanjang tempoh pengajian.
Bagaimanapun, dorongan keluarga menjadi kekuatan utama untuk beliau terus bangkit dan tidak mudah berputus asa.
“Niat serta dorongan daripada keluarga membuatkan saya tidak mudah berputus asa. Ibu dan bapa saya sentiasa memberi sokongan tanpa sedikit pun mengeluh. Itulah yang menjadi pembakar semangat saya untuk terus maju demi insan-insan yang saya sayangi dan ingin saya banggakan,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para pensyarah dan rakan-rakan di KKJS yang sentiasa memberikan galakan untuk beliau berani mencuba perkara baharu serta memanfaatkan setiap peluang yang diberikan.
Kini, Muhammad Asymawi meneruskan perjalanan akademiknya di Politeknik Muadzam Shah dalam bidang Diploma Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
Beliau turut berpesan kepada pelajar KKJS agar tidak takut untuk mencuba perkara baharu dan sentiasa menghargai setiap peluang yang diberikan.
“Jangan pernah takut untuk mencuba sesuatu yang baharu. Hargai setiap peluang dan pengalaman yang diberikan kerana mungkin perkara yang kita anggap kecil hari ini akan menjadi sesuatu yang sangat bermakna pada masa akan datang,” pesannya.
Kisah Muhammad Asymawi membuktikan bahawa kejayaan bukan hanya lahir daripada pencapaian akademik, tetapi turut dibentuk melalui keberanian mencuba, pengalaman berorganisasi, sokongan keluarga, bimbingan pensyarah serta kesungguhan memanfaatkan setiap peluang.
Pengiktirafan Anugerah Pengarah yang diterimanya menjadi satu lagi langkah buat Muhammad Asymawi untuk terus mengembangkan potensi diri dan mengejar impian dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi.
