BANGGA DAN SEBAK, IBU BAPA WAKILI ARWAH AZIB DI MAJLIS KONVOKESYEN

KOLEJ KOMUNITI BUKIT BERUANG
15 September 2026
Akademik, Aktiviti Pelajar, Alumni

PORT DICKSON – Abd Aziz Ali, 51, dan Idah Noorozeeanah Abd Rasid, 44, hadir dengan perasaan bangga dan sebak apabila mewakili anak mereka, Muhammad Azib Aiman Abd Aziz, 21, pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Melaka 2026 yang berlangsung di Dewan Wawasan, Politeknik Premier Port Dickson, Negeri Sembilan.

Azib yang merupakan graduan Sijil Teknologi Automotif Kolej Komuniti Bukit Beruang, Melaka (KKBBM) telah meninggal dunia pada 15 Julai 2026 akibat komplikasi jantung. Beliau mula dikesan mengalami masalah komplikasi jantung pada tahun 2025 ketika sedang mengikuti pengajian di KKBBM.

Walaupun berdepan cabaran kesihatan, Azib tetap menunjukkan semangat yang kuat untuk meneruskan pengajian. Menurut ibunya, Azib sanggup berulang-alik antara kampus dan hospital bagi mendapatkan rawatan demi memastikan pengajiannya dapat diteruskan.

Selepas menamatkan pengajian di KKBBM, Azib meneruskan langkah ke peringkat lebih tinggi dengan melanjutkan pengajian dalam Diploma Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Melaka. Namun, beliau hanya sempat mengikuti pengajian selama satu semester sebelum mengambil keputusan untuk menangguhkan pengajian berikutan keadaan kesihatan yang semakin merosot.

Arwah Azib merupakan antara 189 graduan Kolej Komuniti Bukit Beruang, Melaka yang diraikan dalam Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Melaka 2026 di Dewan Wawasan, Politeknik Premier Port Dickson, Negeri Sembilan.

Ketika ditemui, Puan Idah melahirkan rasa sebak dan terharu kerana diberi peluang untuk hadir ke majlis tersebut bagi mewakili arwah anaknya.

“Hari ini hari yang paling saya banggakan tetapi dalam masa yang sama saya amat merindui Azib. Sepatutnya anak bertuah saya yang hadir dan naik ke atas pentas. Dia bersemangat nak menghadiri majlis konvokesyen bersama kawan-kawan yang lain.

“Walaupun jasadnya tidak ada, doa saya tetap bersama dia. Segala usaha, impian dan senyuman dia menjadi kekuatan untuk saya meneruskan hari-hari yang mendatang.

“Terima kasih kepada semua pensyarah dan kawan-kawan yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan dia. Kami reda dan kami bangga dengan Azib. Semoga setiap ilmu yang pernah dituntutnya menjadi pahala yang mengalir untuknya.”

Kisah Allahyarham Muhammad Azib Aiman menjadi bukti bahawa semangat untuk menuntut ilmu mampu mengatasi pelbagai cabaran. Walaupun tidak berkesempatan hadir sendiri menerima pengiktirafan di pentas konvokesyen, kejayaan beliau menamatkan pengajian menjadi satu pencapaian yang akan terus dikenang oleh keluarga, pensyarah dan rakan-rakan seperjuangan.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti