Bidang Pastri : Dari Minat Jadi Kerjaya

UKK JPPKK
29 September 2022
Alumni

29 September 2022, Kepala Batas – Menyedari bahawa minat perlu seiring dengan ilmu, Nur Alia Musfirah Binti Mohamad Aris, 22 memilih untuk menyambung pengajian di Kolej Komuniti Tasek Gelugor dalam bidang Sijil Pastri.

Kini, Nur Alia merupakan pemilik kepada Acocafe , sebuah kafe ‘cake and coffee house’ yang terletak di Kepala Batas dan Campus Utama USM, Pulau Pinang. Produk yang dijual di kedua-dua cawangan kafe ini merupakan hasil pembelajaran TVET yang diperolehinya semasa di kolej komuniti dahulu. Nur Alia mampu menjana pendapatan bersih sehingga RM 40,000 sebulan.

“Buat masa sekarang, Acocafe mempunyai seramai 20 orang pekerja. Ini termasuk studio pastri Sweetrolley yang saya usahakan. Di studio pastri ini, saya berkongsi ilmu tentang pembuatan kek kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk mempelajarinya” jelas Nur Alia ketika ditemu ramah.

Selama dua tahun membina jenama dan kepercayaan pelanggan, beliau terus berusaha mempelajari ilmu pengurusan perniagaan, pemasaran digital dan sebagainya. Beliau komited dalam usahanya untuk membuktikan bahawa bidang kemahiran adalah pilihan yang tepat untuk diceburi oleh golongan belia.

“Waktu lepas Sijil Pelajaran Malaysia dulu, disebabkan keputusan kurang memberangsangkan, saya tak dapat banyak tawaran sambung belajar. Keluarga saya nasihatkan untuk sambung belajar di Kolej Komuniti Tasek Gelugor, sebab dekat dengan rumah dan tawarkan bidang kemahiran” jelas Nur Alia lagi

Semasa pengajiannya, Nur Alia banyak belajar tentang teknik-teknik yang baharu dalam bidang pastri serta belajar asas keusahawanan digital. Beliau juga aktif dalam pelbagai pertandingan kemahiran dan inovasi yang dianjurkan. Beliau yakin, politeknik dan kolej komuniti merupakan pilihan terbaik untuk mendalami bidang kemahiran.


alia03

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti