KEMBAR, SEPUPU DAN ADIK-BERADIK WARNAI PENTAS KONVOKESYEN 691 GRADUAN KOLEJ KOMUNITI NEGERI MELAKA

KOLEJ KOMUNITI TANGGA BATU
15 September 2026
Akademik, Aktiviti Pelajar, Alumni

PORT DICKSON – Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Melaka Tahun 2026 bukan sekadar menjadi medan meraikan kejayaan 691 graduan Kolej Komuniti Negeri Melaka, malah turut menyaksikan kisah unik beberapa pasangan graduan yang berkongsi hubungan kekeluargaan. Pasangan kembar, sepupu dan adik-beradik sama-sama melangkah ke pentas konvokesyen, menjadikan detik bersejarah ini lebih bermakna buat mereka dan keluarga.

Tiga ikatan kekeluargaan, satu pentas kejayaan. Graduan Kolej Komuniti Tangga Batu bergambar selepas diraikan dalam Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Selatan 2026.

Antara kisah yang menarik perhatian ialah pasangan kembar, Nur Shazwana Mohd Zulhusmi dan adiknya, Nur Shazwani Mohd Zulhusmi, yang berjaya menamatkan pengajian dalam Sijil Pengembaraan Pelancongan pada tahun yang sama. Kedua-duanya berasal dari Kuala Lumpur dan melalui perjalanan pengajian bersama sebelum melangkah ke alam kerjaya.

Bagi pasangan kembar ini, berkongsi pentas konvokesyen merupakan satu detik yang penuh rasa syukur, terharu dan gembira. Sepanjang tempoh pengajian, mereka melalui pelbagai cabaran termasuk mengurus tekanan, tugasan dan komitmen pembelajaran.

Namun, hubungan sebagai pasangan kembar menjadi kekuatan apabila mereka saling memberi semangat dan mengingatkan antara satu sama lain untuk terus bertahan. Mereka menggambarkan perjalanan tersebut sebagai satu perjuangan yang dilalui bersama sehingga akhirnya berjaya mencapai impian.

Bermula bersama, berjuang bersama, berjaya bersama. Pasangan kembar mengabadikan kenangan selepas menerima skrol pada Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Selatan 2026.

“Kami bermula bersama, berjuang bersama dan akhirnya berjaya sampai ke tahap ini bersama,” menjadi gambaran paling bermakna tentang perjalanan mereka sehingga ke pentas konvokesyen.

Selepas menamatkan pengajian, kedua-duanya turut mula membina kerjaya dalam bidang berkaitan pelancongan. Nur Shazwana kini bekerja sebagai Travel Agent/Travel Consultant, manakala Nur Shazwani berkhidmat sebagai Personel MySTEP di Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya.

Selain itu, graduan pasangan sepupu, Syahirah Husna Mohd Soleh dan Siti Umairah Samsul Amri yang juga diraikan dalam majlis tersebut turut melahirkan kesyukuran setelah bersama-sama berjuang dalam melengkapkan pengajian di KKTB.

Sepanjang pengajian, kedua-duanya saling memberi motivasi, berkongsi pandangan serta membantu antara satu sama lain apabila berdepan kesukaran dalam pembelajaran. Sokongan tersebut menjadikan perjalanan pengajian mereka lebih mudah dan bermakna.

Sepupu, rakan seperjuangan dan kini sama-sama bergelar graduan. Dua graduan mengabadikan kenangan istimewa selepas berjaya menamatkan pengajian.

Menariknya, kejayaan di Kolej Komuniti bukanlah noktah buat mereka. Syahirah Husna kini menyambung pengajian dalam Diploma Tourism Management di Politeknik Sultan Idris Shah, manakala Siti Umairah meneruskan pengajian dalam Diploma Pengurusan Pelancongan di Politeknik Merlimau. Walaupun kini belajar di institusi yang berbeza, mereka tetap membawa semangat untuk terus berjaya dan saling menyokong dalam perjalanan masing-masing.

Keputusan untuk meneruskan pengajian ke peringkat Diploma didorong oleh keinginan untuk menambah ilmu, meningkatkan kemahiran dan menyediakan diri untuk masa depan yang lebih baik. Mereka juga mahu membalas pengorbanan ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan dan dorongan sepanjang perjalanan pendidikan.

Satu lagi kisah istimewa ialah pasangan adik-beradik Nursyamira Athirah Md Saparin dan Nursyafiqah Athirah Md Saparin yang turut berkongsi pentas konvokesyen setelah menjadi graduan dalam bidang Pengembaraan Pelancongan. Nursyamira kini bekerja sebagai Cashier Cum Guest Service Agent di Philea Resort & Spa Melaka, sekali gus menunjukkan bagaimana pendidikan dalam bidang pelancongan membuka peluang kepada graduan untuk membina kerjaya dalam industri hospitaliti dan pelancongan.

Kejayaan yang diraikan bersama keluarga. Detik penuh bermakna apabila kejayaan graduasi turut disaksikan dan diraikan oleh insan tersayang.

Bagi mereka, berkongsi pentas konvokesyen bersama adik-beradik sendiri merupakan satu detik yang amat membanggakan. Rasa teruja, syukur dan bangga bercampur apabila melihat perjalanan pengajian yang penuh cabaran akhirnya membawa mereka ke pentas kejayaan.

Antara cabaran yang dilalui termasuk tekanan emosi sepanjang tempoh pengajian. Namun, sokongan ibu bapa yang sentiasa memberikan dorongan, kata-kata positif dan sokongan kewangan menjadi sumber kekuatan untuk mereka terus bertahan sehingga berjaya menamatkan pengajian.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti