
MUKAH, 11 Mac 2026 — Suasana penuh kemesraan dan semangat kebersamaan jelas terpancar apabila warga Jabatan Kejuruteraan Awam (JKA), Politeknik Mukah (PMU) bersama para pelajar menjayakan Program Juh Sungkei JKA 2026 yang berlangsung di Pusat Islam Politeknik Mukah baru-baru ini.
Program “Sungkei“, yang membawa maksud berbuka puasa dalam bahasa Sarawak, yang diadakan sempena bulan Ramadan ini bukan sahaja menjadi platform untuk berbuka puasa bersama, malah berjaya memperkukuhkan hubungan antara pensyarah, staf dan pelajar dalam suasana santai serta penuh kekeluargaan.
Seawal pagi, para pensyarah, staf dan pelajar telah bergotong-royong melalui aktiviti rewang antaranya kerja-kerja seperti penyediaan ruang makan, penyusunan tempat serta penyediaan juadah dilakukan secara bersama, sekali gus mewujudkan suasana kerjasama yang erat dalam kalangan semua yang terlibat sebagai persediaan untuk majlis berbuka puasa nanti.
Menjelang waktu petang, semua yang terlibat berkumpul untuk majlis berbuka puasa dalam suasana yang sederhana namun meriah, gelak tawa dan perbualan santai antara pensyarah, staf, dan pelajar jelas menggambarkan keakraban yang terjalin hasil penganjuran program tersebut.
Bagi sebahagian pelajar, program seperti ini membawa makna yang lebih mendalam, khususnya kepada mereka yang berada jauh daripada keluarga sepanjang tempoh penganjian.
Seorang pelajar yang ditemui berkongsi bahawa program sebegini sedikit sebanyak mampu merawat rasa rindu terhadap keluarga serta adik-beradik di kampung dan menurutnya lagi suasana berbuka puasa bersama rakan-rakan serta pensyarah membuatkan dirinya berasa seolah-olah berada dalam sebuah keluarga besar di kampus.
Sementara itu, pensyarah JKA, Daniel Edward Padang, berkata penganjuran program seperti ini penting dalam membina hubungan yang lebih dekat antara pensyarah dan pelajar di luar suasana bilik kuliah dan program Juh Sungkei JKA bukan sekadar majlis berbuka puasa, tetapi juga medium untuk memupuk nilai kebersamaan, saling menghormati serta semangat kekeluargaan dalam kalangan warga PMU.
“Program seperti ini menunjukkan bahawa kita boleh berkumpul dan bekerjasama sebagai satu komuniti. Semua orang terlibat tanpa ada yang tertinggal — semangat no one left behind itu yang kita mahu pupuk dalam kalangan warga JKA,” katanya.
Penganjuran Program Juh Sungkei JKA 2026 dilihat bukan sahaja memeriahkan sambutan Ramadan di PMU, malah berjaya mewujudkan ruang interaksi yang lebih mesra antara pensyarah, staf dan pelajar, sekali gus mengukuhkan lagi semangat kebersamaan dalam komuniti Jabatan Kejuruteraan Awam, Politeknik Mukah.

