
KULIM, 29 Oktober 2025 – Kecemerlangan Nik Muhammad Faris bin Ali Zaini, penerima Anugerah Pengarah Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), menjadi bukti nyata bahawa graduan politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) kini menjadi rebutan industri berteknologi tinggi.

Ketika menjalani Latihan Industri (LI) di syarikat gergasi semikonduktor, Texas Instruments Sdn. Bhd., Nik Muhammad Faris menunjukkan prestasi yang begitu luar biasa sebagai seorang Juruteknik Peralatan (Equipment Technician).
Kepercayaan tinggi pihak industri terhadap kompetensi beliau terbukti apabila beliau menerima tawaran pekerjaan daripada Texas Instruments Sdn. Bhd. sejurus tamat latihan.
Dengan visi yang jelas untuk kemajuan kerjaya jangka panjang, Nik Muhammad Faris memilih untuk mendahulukan pengajiannya demi membina landasan kerjaya yang lebih kukuh sebelum terjun sepenuhnya ke alam pekerjaan. Beliau telah berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Pengarah PTSB, Norlili Juwita Arshad dalam kenyataannya berkata, kejayaan ini adalah satu pengiktirafan besar kepada kualiti program pengajian di POLYCC.
“Kejayaan Nik Muhammad Faris adalah cerminan kepada apa yang kami perjuangkan di PTSB iaitu melahirkan graduan yang sedia industri (industry-ready). Apabila pemain industri utama seperti Texas Instruments mengiktiraf bakat pelajar kita sehingga ke tahap menawarkan pekerjaan serta-merta, ia mengesahkan bahawa kurikulum dan latihan yang kita berikan adalah relevan dan menepati piawaian global.”
Pencapaian beliau sebagai penerima Anugerah Pengarah yang mengiktiraf kecemerlangan akademik dan ko-kurikulum adalah amat bertepatan dan beliau dilihat sebagai ikon graduan TVET yang holistik.