
KULIM, 9 Mac 2026 – Satu sesi Ceramah Faham Kenegaraan telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Kuliah Utama, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) hari ini, sebagai sebahagian daripada pengisian Program Ihya Ramadan POLYCC Zon Kedah/Perlis 2026.

Program ini menampilkan penceramah jemputan daripada Akademi Kenegaraan Malaysia iaitu Encik Muhammad Syafiq bin Alias yang juga merupakan Sekretariat Penggerak MADANI Kedah merangkap Setiausaha Kesatuan Guru-Guru Malaysia Barat. Dalam ceramah yang disampaikan, beliau menekankan kepentingan kefahaman terhadap konsep kenegaraan, jati diri rakyat serta peranan generasi muda dalam memastikan kelangsungan kemakmuran negara.
Menurut beliau, pembangunan sesebuah negara bukan sahaja bergantung kepada kemajuan ekonomi dan teknologi, malah turut ditentukan oleh nilai, pemikiran serta kesedaran sivik dalam kalangan rakyatnya khususnya generasi muda yang bakal menerajui masa depan negara.
Beliau turut berkongsi pandangan bahawa kekuatan sesebuah negara dapat dilihat melalui kualiti generasi mudanya. “Nak lihat negara yang berjaya, lihatlah pemuda pemudi generasi sekarang,” jelas beliau, sambil menyeru para pelajar untuk terus membina jati diri yang kukuh, berintegriti dan bertanggungjawab sebagai warganegara.





Penganjuran ceramah ini dilihat selari dengan objektif Program Ihya Ramadan yang bukan sahaja menekankan penghayatan ibadah sepanjang bulan Ramadan, malah turut memberi ruang kepada pengisian ilmu yang mampu membentuk sahsiah, pemikiran kritis serta semangat patriotisme dalam kalangan warga POLYCC.
Program seumpama ini diharap dapat terus memperkukuh kesedaran kenegaraan dalam kalangan pelajar sekali gus melahirkan generasi muda yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing demi masa depan negara.
Kredit foto: Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB)