DBSSHC 2023 Serlah Pelajar Berinovasi, Kreatif dan Berdaya Saing

POLITEKNIK KOTA BHARU
31 March 2023
Penyelidikan dan Inovasi

13 Mac 2023, Kota Bharu – Dalam menjadikan politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) sebagai pusat pengembangan inovasi dalam kalangan pelajar dan masyarakat luar, Politeknik Kota Bharu (PKB) telah menganjurkan Pertandingan Mereka Bentuk Dan Bina Rumah Kos Rendah Satu Tingkat Berasaskan Building Information Modelling (BIM) atau Design & Build Single-Store House Competition (DBSSHC), disini.

Kamaludin Daud, Timbalan Ketua Pengarah (Governan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) ketika merasmikan pertandingan ini berkata, program kolaborasi sebegini amat disokong di peringkat JPPKK kerana memberi impak yang besar khususnya kepada pelajar dan juga institusi.

“Program sebegini menjadi medium untuk mempromosi PKB dan juga JPPKK sebagai satu pusat pengembangan inovasi dalam kalangan pelajar dan masyarakat luar”, katanya.

Turut diadakan sesi penyerahan ‘mock up cheque’  tajaan oleh pihak industri, Azni Shah Sulaiman, Pengarah Blackfox Engineering Sdn. Bhd kepada Sr. Haji Mohd Fikri Ismail, Pengarah PKB.

Pertandingan ini dilaksanakan di peringkat Politeknik Kota Bharu (PKB) dengan melibatkan pelajar Jabatan Kejuruteraan Awam (JKA), Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE) dan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM). Turut hadir bersama dalam majlis ini , Ir. Haji Mohd Zaidi bin Che Mod, Timbalan Pengarah Akademik, Saifuddin bin Semail, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Pengarah – pengarah Kolej Komuniti Kelantan dan pegawai – pegawai kanan PKB.

Pertandingan ini merupakan satu  Inovasi penyelidikan secara kolaborasi di antara Blackfox Engineering Sdn. Bhd., Alumni PKB dan Politeknik Kota Bharu yang merupakan satu item kolaborasi berimpak tinggi bagi PKB dan Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti, JPPKK.

Menurut Pengarah PKB, Sr. Haji Mohd Fikri Ismail, antara objektif utama penganjuran Design & Build Single-Store House Competition adalah untuk mengalakkan aktiviti inovasi dalam kalangan pelajar Politeknik Kota Bharu di samping bagi memenuhi keperluan Engineering Technology Accreditation Council (ETAC) dan Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM).

“Selain daripada itu, pertandingan seumpama ini dapat melahirkan para pelajar yang kreatif, berdaya saing dan berinovasi”, katanya.

Pihak Blackfox Engineering Sdn. Bhd. telah menaja sebanyak RM17 Ribu dan pihak Alumni PKB juga akan memberikan sumbangan penajaan bagi menjayakan majlis pembentangan, pameran dan pertandingan yang akan dilaksanakan pada pada minggu kedua Mei 2023 nanti.

Pertandingan ini disertai enam kumpulan yang diterajui oleh Pensyarah Kursus DCC50242 Building Information Modeling (BIM) bagi Program Diploma Kejuruteraan Awam (DKA) manakala Kursus DCQ50262 Building Information Modeling (BIM) bagi Program Diploma Ukur Bahan (DUB) dimana PDP kursus melibatkan penggunaan perisian REVIT. Setiap kumpulan diperuntukan sebanyak RM2 Ribu sebagai perbelanjaan dalam menyiapkan projek tersebut dengan hadiah tempat pertama bagi pertandingan ini adalah RM5 Ribu.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti