12 Disember 2022, Ho Chi Minh – Kolej Komuniti Chenderoh Perak mencipta nama di peringkat Asia apabila berjaya memperoleh 2 pingat Emas dalam Vietnam Culinary Challenge bersempena dengan Food & Hotel Vietnam 2022 yang berlangsung dari 7 hingga 9 Disember di Saigon Exhibition and Convention Center (SECC) dekat sini.
Pingat emas tersebut telah dibawa pulang oleh Pensyarah Utama Program Diploma in Culinary Arts, Khairul Ashikhin Abdullah Suhami dan pelajar, Muhamad Fikri Kamaruzaman.
Khairul Ashikhin juga turut membawa pulang wang tunai VND2,000,000 setelah berjaya dinobatkan 2nd Runner-up dalam acara Real California Milk Pizza Challenge.
“Teamwork adalah kunci utama kejayaan team KKCP dalam setiap pertandingan yang disertai. Prinsip pasukan, if you want to lift yourself up, lift someone else too”, jelas Khairul Ashikhin.
Acara pertandingan yang disertai menerusi 14 kategori ini terdiri daripada seorang pensyarah bersama 4 orang pelajar Diploma in Culinary Arts.
Selain pingat emas, pasukan ini juga telah berjaya membawa pulang 4 pingat Perak, 3 pingat Gangsa serta 5 Diploma.
Pengarah KKCP, Meor M Sharifuddin berkata, beliau amat menggalakkan penyertaan pelajar dan pensyarah KKCP dalam sebarang pertandingan peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Jelasnya lagi, pertandingan sebegini merupakan satu medan yang terbaik bagi meningkatkan kemahiran, membina keyakinan diri selain mendapat pengiktirafan industri.
“Kerjasama pintar yang kita jalinkan antara KKCP dan Qware, Tamin Group dan PowerChef menjadi resepi kejayaan kami dalam pertandingan yang disertai samada dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa”
Meor juga mengucapkan penghargaan kepada pihak Pengurusan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang sentiasa memastikan institusi TVET di bawahnya sentiasa relevan dengan keperluan semasa.