EKOTREK GUNUNG ARONG: JEJAK LESTARI EKOPELANCONGAN TROPIKA

KOLEJ KOMUNITI KOTA TINGGI
31 October 2025
Aktiviti Pelajar

Mersing, 21 Oktober 2025 – Seramai 16 pelajar Program Sijil Pengembaraan dan Pelancongan, Kolej Komuniti Kota Tinggi (KKKTJ) telah berjaya menawan puncak Gunung Arong dalam Program Ekotrek Gunung Arong: Jejak Lestari Ekopelancongan Tropika, anjuran Kolej Komuniti Kota Tinggi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi.

Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai konsep pelancongan lestari dan amalan hijau dalam aktiviti rekreasi. Ia turut berfungsi sebagai platform untuk membina kemahiran kepimpinan, kerja berpasukan, komunikasi dan daya tahan fizikal dalam suasana pembelajaran luar bilik darjah yang mencabar dan menyeronokkan.

Lebih menarik, program ini telah dipandu oleh alumni Kolej Komuniti Kota Tinggi, Encik Nazrul Ikhram, yang kini aktif dalam bidang rekreasi dan pelancongan. Kehadiran beliau memberi bimbingan profesional kepada peserta dari aspek keselamatan pendakian dan teknik asas rekreasi luar, selain berkongsi pengalaman industri yang memberi inspirasi kepada para pelajar.

Sebagai tanda keprihatinan terhadap alam sekitar, peserta turut melaksanakan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan menjalankan kerja-kerja pembersihan laluan pendakian dan kawasan Pantai Resang yang berhampiran Gunung Arong. Aktiviti ini bukan sahaja memperindah kawasan rekreasi, tetapi turut menanam nilai tanggungjawab sosial dan semangat cintakan alam sekitar dalam kalangan peserta.

Menurut pelajar peserta, Nor Shafina Eriesya binti Nor Rizan, pengalaman mendaki Gunung Arong membuka peluang untuk mengenali potensi diri dan memupuk semangat berpasukan. “Pendakian ini mengajar saya erti ketahanan, disiplin dan keindahan alam yang harus kita pelihara bersama,” ujarnya.

Sementara itu, Muhammad Aidil Hafis turut berkongsi bahawa pengalaman ini memberi peluang untuk belajar secara langsung di lapangan. “Program ini menyeronokkan dan mencabar. Saya belajar banyak perkara tentang keselamatan, kerja berpasukan dan cara menghargai alam semula jadi,” katanya.

Menurut Pn. Sharifah Azian binti Tuan Muda, program seperti ini merupakan satu inisiatif berimpak tinggi dalam membentuk pelajar yang bukan sahaja berkemahiran dalam bidang pelancongan, malah mempunyai kesedaran terhadap kepentingan kelestarian alam. “Aktiviti luar seperti ini mampu meningkatkan keyakinan diri, daya tahan fizikal serta memberi peluang kepada pelajar untuk mempraktikkan teori dalam suasana sebenar,” jelas beliau.

Manakala Pengarah Kolej Komuniti Kota Tinggi, Pn. Sharini binti Zakaria pula menyatakan bahawa penganjuran program ini seiring dengan matlamat kolej untuk melahirkan pelajar yang holistik dan seimbang. “Kita mahu pelajar bukan sekadar cemerlang dalam akademik, tetapi juga memiliki sahsiah unggul, semangat kesukarelawanan serta kecintaan terhadap alam sekitar. Pendekatan seperti ini sangat bertepatan dengan falsafah pendidikan TVET yang menekankan pembelajaran berasaskan pengalaman,” ujar beliau.

Secara keseluruhannya, Program Ekotrek Gunung Arong: Jejak Lestari Ekopelancongan Tropika berjaya mencapai objektifnya sebagai wadah pembelajaran praktikal yang menyatukan elemen pendidikan, kelestarian dan tanggungjawab sosial. Ia menjadi bukti komitmen Kolej Komuniti Kota Tinggi (KKKTJ) dalam melahirkan pelajar yang berdaya tahan, berdisiplin dan berjiwa lestari, selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti