Elak media sosial jadi pencetus kebencian

POLITEKNIK MUADZAM SHAH
05 August 2026
BERITA, Harian Metro, KERATAN AKHBAR, Umum

Paparan negatif yang terlontar menerusi media sosial seperti Facebook, Instagram dan seumpamanya kini lebih ke arah tercetusnya persengketaan dan perbalahan sesama sendiri. Media sosial seolah-olah menjadi ‘medan perang’ untuk menabur fitnah, memaki hamun dan memaparkan apa sahaja yang negatif tanpa mempedulikan perasaan orang lain dan tidak menghiraukan dosa pahala.

Islam begitu memfokuskan aspek membina hubungan baik dan sentiasa bersatu hati sesama umat dan senario kebersatuan ikatan silaturahim sudah pun berjaya dicorakkan oleh baginda SAW dan gambaran keakraban intim dalam masyarakat Mukmin begitu kental bagaikan tembok kebal yang sukar ditembusi sebarang anasir liar yang cuba mengganggu-gugat keharmonian hidup mereka. Namun, ikatan ukhuwah tersebut semakin tercabut dari sehari ke sehari sehingga ke hari ini, kita dihidangkan dengan suatu ekologi sosial ummah yang begitu tragis dan menyedihkan.

Sahabat besar, Abu Darda’ sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa salah seorang sahabat terbilang di sisi baginda SAW begitu mengambil berat aspek pembinaan ikatan ukhuwah ummah ini. Beliau pernah meninggalkan satu pesanan yang berisi jitu buat kita yang antara lain ujarnya: “Cacian daripada seorang saudara, lebih baik daripada kehilangan dia. Siapakah mereka bagimu, kalau bukan saudara atau kawan? Berilah saudaramu dan berlemah lembutlah kepadanya. Janganlah kamu ikut-ikutan mendengki saudaramu, nanti kamu akan seperti orang itu juga. Ingat, esok kamu akan diragut oleh maut, maka cukuplah bagimu kehilangan dia. Bagaimana kamu akan menangisinya sesudah mati, sedang selagi hidup kamu tidak pernah memenuhi haknya.”

Demikian juga dalam riwayat kisah hidupnya yang mulia itu, Abu Darda’ diberitakan sentiasa berusaha mencegah orang Mukmin yang lain daripada memaki cela hatta terhadap insan yang berdosa sekalipun. Lihatlah hebatnya insan yang lulus di ‘Madrasah Rasulullah’ ini. Hal itu dilaporkan oleh Abu Qalabah. Kata beliau, pada suatu hari Abu Darda’ melihat orang ramai sedang mencaci-maki seseorang yang bersalah dengan perbuatan dosa.

Dengan nada cukup tegas Abu Darda’ tampil menasihatkan orang ramai sambil bertanya mereka: “Bagaimana pendapat kalian jika bertemu dengan orang yang terjatuh ke dalam lubang? Bukankah kalian seharusnya berusaha membantu mengeluarkannya dari lubang tersebut?” Terpinga-pinga orang ramai mendengar pertanyaan sahabat Nabi saw itu. Kemudian mereka menjawab, “Ya, sudah tentu.” Mendengarkan jawapan orang ramai itu, maka Abu Darda’ mula membuka gelanggang untuk memberikan nasihatnya dengan berkata: “Kalau begitu, jangan kalian cela dia, tetapi hendaklah kalian mengucapkan syukur kepada Allah yang telah menyelamatkan kalian.”

Orang ramai masih keliru dengan prinsip yang dipegang oleh Abu Darda’ yang nyata tidak sedikit berasa benci terhadap insan yang berbuat kesalahan itu tadi dan situasi ini membuatkan mereka melontarkan soalan secara terus kepada Abu Darda’. Tanya mereka: “Apakah engkau tidak membencinya?” Dengan wajah tenang setenang air di tasik, Abu Darda’ tersenyum memandang orang ramai lalu berkata: “Yang kubenci adalah perbuatannya, apabila dia meninggalkannya, maka dia adalah saudaraku.”

Kisah tersebut sebenarnya masih dalam konteks perbincangan kita iaitu berkenaan kepentingan sentiasa memperkukuhkan hubungan ukhuwah sesama ummah. Inilah gambaran sosial semasa hidup baginda SAW bersama-sama para sahabatnya dan kita sewajibnya mencontoh mereka kerana tanpa hubungan erat sesama saudara seagama, anasir luar yang sedang mengintai ruang dan sedang menanti peluang tidak sabar memporak-peranda keutuhan landskap sosial ummah.

Menyentuh perkara sepenting membina ukhuwah ummah ini, ada baiknya kita meneliti juga satu wasiat yang pernah ditinggalkan oleh sahabat agung, Saidina Abu Bakar as-Siddiq. Beliau berpesan kepada kita semua yang katanya: “Orang yang menganjurkan permusuhan adalah orang yang berdiri di tepi jurang neraka yang hanya menunggu saat kehancurannya. Oleh itu, bersatulah di dalam jemaah sebagaimana bersatunya kaum Muhajirin dan Ansar.”

Tetapi, sayang seribu kali sayang, segala pesanan dan peringatan baik daripada lisan baginda SAW mahupun menerusi sirah para sahabat agung baginda tidak pernah kita jadikan teladan, sebaliknya kita semakin dihanyutkan dengan nafsu demi memenuhi kepentingan puak mahupun diri sendiri. Imam Abu Daud ada merakamkan satu titipan kisah yang sangat sesuai bagi kita renungi bersama. Ia ada sangkut-pautnya dalam isu mengelakkan perpecahan sesama ummah.

Abu Daud bercerita, ketika Khalifah Uthman memimpin jemaah haji dari Madinah, beliau mendirikan solat Zuhur empat rakaat sewaktu mabit di Mina. Apabila berita tersebut sampai ke pengetahuan Abdullah bin Mas’ud, dia berasa tidak senang dan menyesal akan perbuatan Uthman. Kata Abdullah mengulas tindakan Uthman itu: “Saya solat bersama Abu Bakar dua rakaat dan saya solat bersama Umar juga dua rakaat.” Kata-kata Abdullah itu memberi makna yang dia beranggapan tindakan Uthman menyalahi sunah.

Namun, sejurus tiba waktu solat, Abdullah (Ibnu Mas’ud) pun turut juga menunaikan solat Zuhur sebanyak empat rakaat sebagaimana dilaksanakan oleh Khalifah Uthman tadi. Maka datanglah seorang sahabatnya lalu bertanya: “Engkau mencela Uthman kerana solat empat rakaat, tetapi kenapa pula engkau melakukannya juga?” Dengan ringkas Abdullah menjawab: “Perpecahan sangat buruk.”

Situasi yang menambahkan keburukan hubungan sesama ummah seharusnya dinoktahkan. Kita tidak ingin suasana persaudaran yang sepatutnya erat terjalin menjadi hubungan retak seribu yang natijahnya amat buruk kepada kehidupan bermasyarakat dan menganggu kelangsungan agenda membangunkan negara.

Sesungguhnya, setiap daripada kalangan kita berkewajipan untuk mengekalkan gaya hidup berukhuwah yang jitu kerana itu sahaja jalan yang diredai Allah. Bersamalah kita jadikan kemudahan komunikasi menerusi media sosial sebagai pemudah hubungan ukhuwah dan bukan sebagai medan perang sosial yang meretakkan hubungan hidup bersama sesama masyarakat.

https://www.hmetro.com.my/addin/2026/07/1390382/elak-media-sosial-jadi-pencetus-kebencian

Encik Mohd Rizal Azman Bin Rifin

Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Disiarkan pada: 28 Julai 2026

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti