FESKEW Ke – 11 semarak budaya dan kesenian warisan dalam diri pelajar POLYCC

POLITEKNIK KOTA BHARU
18 January 2024
Aktiviti Pelajar

27 September 2023, Politeknik Kota Bharu: Festival Kebudayaan dan Warisan ke – 11 (11th FESKEW) peringkat Kebangsaan yang telah berlangsung di Politeknik Kota Bharu Berjaya mengumpulkan 230 orang pelajar daripada 20 Politeknik seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Festival yang telah berlangsung  24 sehingga  26 September 2023 di Politeknik Kota Bharu, Kelantan sebagai pengelola utama bagi tahun ini penuh dengan aktiviti kebudayaan dan kesenian iaitu Pertandingan Tarian Rampaian Tradisional Melayu, Pertandingan Da’-ian, dan Program Jejak Warisan.

Dengan tema pada tahun ini, Seni Dan Budaya Menelusuri Improvisasi Gerak Dan Irama festival ini diadakan dengan objektif untuk melahirkan pelajar Politeknik dan Kolej Komunit yang berbakat dalam seni tari secara meluas dan terperinci sekaligus melahirkan pelajar yang kreatif serta mencintai budaya secara progresif.

Dalam masa yang sama program sebegini juga diadakan bagi memperkasakan pelajar dengan nilai-nilai pendidikan yang diterapkan dalam membuat penyelidikan mahupun kebudayaan dan warisan itu sendiri.

Menurut Gs. Sr Haji Mohd Fikri bin Ismail, Pengarah Politeknik Kota Bharu dalam ucapan perasmian penutup yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kota Bharu semalam, pada masa ini peranan seni telah diterima sebagai antara elemen pembangunan negara yang berkemampuan menjana kehidupan lebih berkualiti. Contohnya, tarian walaupun ramai yang menganggap ia hanya pergerakan mengikut irama lagu, namun di sebalik persembahan itu ia membentuk sahsiah diri penari atau penggiatnya seperti disiplin menepati masa dan juga mematuhi setiap peraturan.

Tambahnya lagi, seni tradisi yang dihiasi dengan ciri-ciri kreatif, malar segar akan mampu menjadikan nilai tradisi tersebut seakan istimewa, segar dan popular hingga menambat hati golongan muda mudi. Dengan cara ini juga, kelestarian warisan seni budaya tempatan ini lebih mudah diperturunkan dari generasi ke generasi seterusnya, bahkan wajar untuk terus diendahkan.

Turut hadir dalam majlis yang sama Encik Yaswadi bin Mat Yasim, Timbalan Pengarah, Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK),  Ir. Haji Mohd Zaidi Bin Che Mod, Timbalan Pengarah Akademik, En. Che Anuzi bin Yusoff, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Pengarah – Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Kelantan dan Terengganu, Pegawai – pegawai kanan Politeknik Malaysia.

Menurut Mohammad Noorsyauqi, salah seorang peserta daripada Kumpulan Astana Seni, Politeknik Merlimau Melaka (PMM) yang merupakan Johan bagi Pertandingan Tarian Rampaian Tradisional Melayu merasa sangat bersyukur kerana tidak sangka dinobatkan sebagai Johan kerana mereka hanya bermula latihan untuk pertandingan ini adalah 2 minggu sebelum ini namun kerana kepakaran dan latihan daripada pegawai kebudayaan PMM, En. Abdul Rashid bin Husain serta komitmen pasukan yang sangat tinggi memberikan hasil yang sangat tak terduga.

 

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti