ICTeX’2026 Platform Perkasa Pelajar TVET ke Peringkat Global

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
05 October 2026
Malaysia Aktif

ALOR SETAR, 30 Sept (MalaysiaAktif) – Penganjuran Information Communication Technology Exhibition 2026 (ICTeX’2026) menjadi platform memperkasa kreativiti dan daya saing pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke peringkat global.

Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) Hamizi Yahya yang berkata ICTeX merupakan platform menterjemahkan ilmu kelas kepada situasi dunia sebenar serta memberi pendedahan antarabangsa kepada pelajar.

“ICTeX bukan sekadar sebuah pameran akademik atau pertandingan projek. Ini adalah platform kritikal yang menterjemahkan ilmu kelas kepada situasi dunia sebenar.

“Kehadiran elemen antarabangsa melalui rangkaian bersama institusi luar negara amat penting untuk memastikan pelajar POLIMAS mempunyai minda yang luas serta bersedia mendepani kehendak industri global,” katanya, di sini kelmarin.

Ketua Juri, Norheeza Mohd Zaidin berkata projek yang dipertandingkan menunjukkan kualiti tinggi menerusi penerapan teknologi terkini serta usaha pelajar meneroka ilmu di luar bilik darjah bagi menyelesaikan masalah dunia sebenar.

Projek ClenTra (Sistem Pengurusan Perkhidmatan) muncul juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM250 tajaan Koperasi Guru-Guru Melayu Kedah Berhad.

Dibangunkan untuk premis Cuci Shoes Jitra, sistem itu mendigitalkan pengurusan tempahan dan servis yang sebelum ini dilakukan secara manual, selain menyediakan fungsi notifikasi WhatsApp automatik, peringatan pengambilan kasut, sejarah tempahan dan program ganjaran pelanggan.

Wakil kumpulan, Balqis Batrisyia Muhd Asyraf, 20,  berkata ClenTra dapat mengurangkan risiko kesilapan maklumat serta memudahkan pengurusan operasi premis secara lebih sistematik.

Tempat kedua dimenangi kumpulan MamaAI menerusi An Antenatal Insight Pregnancy Companion System, manakala tempat ketiga diraih MachMarketHub menerusi Platform Pasaran Digital Interaktif.

sumber : https://malaysiaaktif.my/2026/09/ictex2026

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti