PhD ke TVET: Dr. Syamsurina buktikan pembelajaran sepanjang hayat

KOLEJ KOMUNITI ARAU
10 August 2026
KERATAN AKHBAR, Malaysia Aktif

ARAU, 7 Ogos (MalaysiaAktif) – Seorang pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) membuktikan konsep pembelajaran sepanjang hayat tidak mengenal batas kelayakan akademik apabila menjadi antara graduan Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Arau (KKA) 2026.

Dr. Syamsurina Arshad, 42, yang mempunyai kepakaran dalam bidang Sains Sekitaran daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2019 berjaya menamatkan pengajian Sijil Teknologi Elektrik (SKE) di KKA.

Pegawai Penyelidik di Bahagian Pembangunan dan Biodiversiti, Jabatan Perhutanan Negeri Perlis itu berkata keputusan mengikuti pengajian dalam bidang elektrik di KKA lahir daripada keyakinannya bahawa ilmu sentiasa berkembang dan seseorang tidak seharusnya berhenti belajar hanya kerana telah memperoleh sesuatu kelayakan.

“Saya memilih bidang elektrik di Kolej Komuniti walaupun sudah memiliki PhD kerana saya percaya ilmu tidak berhenti pada gelaran. PhD membentuk pemikiran strategik dan analitikal saya manakala bidang elektrik di Kolej Komuniti pula memberikan saya kemahiran praktikal (hands-on) yang bernilai tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen KKA 2026 di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, di sini hari ini.

Syamsurina merupakan antara 200 graduan yang diraikan pada majlis konvokesyen itu dan berharap kemahiran baharu dalam bidang elektrik dapat menjadi nilai tambah kepada kerjayanya dalam sektor awam.

Beliau berkata gabungan kepakaran akademik dan kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadikannya seorang profesional yang lebih lengkap, relevan serta bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang sentiasa berubah.

“Gabungan kepakaran sebagai penyelidik perhutanan dengan kemahiran teknikal elektrik membolehkan saya melihat sesuatu isu secara lebih menyeluruh dan praktikal, sekali gus menyumbang kepada penyelesaian yang lebih berkesan demi manfaat organisasi, masyarakat dan negara,” katanya.

Di sebalik kejayaan itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada keluarganya, khususnya suami, Mohd Faisal Ismail, yang sentiasa menjadi sumber kekuatan dan memberikan sokongan sepanjang tempoh pengajian.

– MALAYSIAAKTIF

Sumber: https://malaysiaaktif.my/2026/08/daripada-phd-ke-tvet-dr-syamsurina-buktikan-pembelajaran-sepanjang-hayat/?fbclid=IwY2xjawTmShRwZG9mAWV4dG4DYWVtAjExAHNydGMGYXBwX2lkEDIyMjAzOTE3ODgyMDA4OTIAAR7yb2QwJMtVpMB8bhsn5GVA6M_QS14HoWMF5bPVLwXKe6vM7z_jMcimvPSZyw_aem_YrbG7jc50Vt_4ukPtQ-bfw

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti