Inisiatif ‘My Saved Food’ Bantu Ringankan Beban Pelajar

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
28 September 2023
Aktiviti Pelajar

28 Mac 2023, Kuantan – Yayasan Sukarelawan Politeknik (YES), Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) melaksanakan program ‘My Saved Food’ bagi meringankan beban pelajar sempena Bazar Ramadan POLISAS 2023 yang beroperasi bermula pada 23 Mac sehingga 18 April ini, bertempat di Padang A, POLISAS.

Program ‘My Saved Food’ yang turut mendapat kerjasama daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) POLISAS ini antara lain adalah untuk mengelakkan pembaziran makanan dan minuman yang tidak habis dijual atau sekiranya terdapat peniaga yang perlu pulang awal.

Pengarah POLISAS, Norehan Silek ketika dihubungi berkata, setiap hari kumpulan pelajar seramai lima orang yang terdiri daripada tiga orang sukarelawan YES POLISAS dan dua orang MPP POLISAS akan bertugas di Bazar Ramadan POLISAS untuk mengumpul makanan dan minuman yang disumbangkan oleh para peniaga.

“Biasanya pada jam lima petang ke atas, kumpulan pelajar ini akan bertugas di bazar dan makanan serta minuman yang dikumpul kemudiannya akan diserahkan ke masjid dan juga asrama POLISAS, untuk manfaat para pelajar yang memerlukan”, katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Keusahawanan POLISAS, Suriati Ahmad berkata, Bazar Ramadan POLISAS anjuran Pusat Keusahawanan POLISAS (PUSKEP) mula beroperasi seawal jam 3.30 petang sehingga 8.30 malam ini menghimpunkan 23 gerai makanan dan minuman.

Tambahnya lagi, para peniaga adalah terdiri daripada pelajar-pelajar POLISAS dan juga peniaga luar sebagai mentor kepada mentee (pelajar) dari setiap jabatan.  Penganjuran bazar ini juga adalah untuk melatih dan membimbing para pelajar dalam bidang keusahawanan di samping untuk memudahkan warga POLISAS untuk membeli juadah berbuka puasa.

“ Pelbagai juadah boleh didapati antaranya ayam madu, polycoffee, Chicken Chop, air balang, ayam gunting, pulut mangga, pulut durian, nasi kerabu, roti tempayan, daging bakar dan bermacam-macam lagi. Orang ramai di sekitar Semambu juga dijemput hadir ”, katanya.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti