
Jendela Madani 30 April 2026




Siapa sangka, hanya dengan imbasan kodd QR, sebuah taman permainan maya muncul secara realistik di depan mata!
Kehebatan teknologi Augmented Reality (AR) melalui aplikasi AHC PlaySpaceAR telah memukau para
penilai sehingga dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Khas Pengarah (Projek Terbaik Keseluruhan) pada Pertandingan Projek Akhir Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ( FYPCom@POLIMAS 2026), baru-baru ini di Dewan Sri Mas, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah.
Projek futuristik hasil ciptaan pelajar Diploma Teknologi Maklumat itu bukan sahaja membawa pulang gelaran tertinggi, malah turut menyapu bersih Anugerah Platinum 1 dan Anugerah Emas.
Kejayaan luar biasa ini membolehkan kumpulan tersebut membawa pulang hadiah wang tunai serta sijil pengiktirafan.
ACARA TAHUNAN BERPRESTIJ
Pertandingan yang merupakan acara tahunan berprestij ini bertujuan mencungkil bakat dan kreativiti pelajar dalam menghasilkan inovasi serta idea-idea baharu yang mampu mengubah landskap industri.
Majlis penutupan telah dirasmikan oleh Ketua Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Noor Azmiza Ideris yang mewakili Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS.
Beliau menyifatkan hasil kerja pelajar tahun ini sebagai bertaraf tinggi dan sangat relevan dengan tuntutan pasaran kerja.
MENCERMINKAN SEMANGAT INOVASI
Projek yang dipamerkan mencerminkan semangat inovasi yang luar biasa.
“Keupayaan pelajar mengintegrasikan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan Internet Of Things (IoT) membuktikan graduan TVET kita bukan sahaja mahir teknikal, malah mampu menjadi penyelesai masalah industri yang mampan,” tegas beliau dalam ucapanya.
AHC PlaySpaceAR, yang dibangunkan oleh Zarith Nurul AinaSobri dan Hizaril Ahmad Habibullah di bawah bimbingan pensyarah penyelia Rosnida Baharuddin, membolehkan kontraktor dan pelanggan melihat visual taman permainan dalam bentuk 3D secara masa nyata sebelum ia dibina.
MODEL TAMAN PERMAINAN
“Kami ingin memudahkan urusan industri pembinaan. Melalui aplikasi ini, pengguna boleh ‘meletakkan’ model taman permainan di lokasi sebenar dan mengubah suai saiz serta kedudukannya secara interaktif,” jelas Zarith Nurul Aina.
Menurut Rosnida, inovasi ini bukan sekadar untuk penilaian akademik, tetapi telah direka untuk menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dengan mengurangkan pembaziran sumber melalui simulasi awal yang tepat.
FYPCom@POLIMAS 2026 sekali lagi membuktikan institusi TVET merupakan”kilang” utama dalam melahirkan pencipta teknologi masa hadapan yang kreatif, berani, dan kompeten. – JM
Sumber : Jendelamadani