Inovasi i-Mushroom rangkul juara keseluruhan INNOPLEN 2023

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
29 August 2023
Penyelidikan dan Inovasi

28 Ogos 2023 , Kuantan – Pengaplikasian Teknologi Pertanian Persekitaran Terkawal (CEA) Bagi Rumah Cendawan Dengan Integrasi Internet of Things (IoT) atau dikenali sebagai i-MushRoom merupakan hasil inovasi kumpulan penyelidik dari Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS). Produk ini telah diumumkan sebagai juara keseluruhan dalam Innovation, Product Launching and Entreprenuership (INNOPLEN) 2023 Peringkat Kebangsaan. Anugerah ini telah disampaikan oleh Haji Kamaludin Daud, Timbalan Ketua Pengarah (Governan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti ketika Majlis Perasmian Penutup program ini, dekat sini.

i-MushRoom merupakan kombinasi pertanian dan teknologi yang dibangunkan oleh Jabatan Kejuruteraan Elektrik POLISAS yang bertujuan untuk membantu dalam meningkatkan hasil pengeluaran cendawan yang optimum dengan menggabungkan dua komponen utama iaitu sistem pemantauan dan pengawalan berdasarkan IoT dengan pengintegrasian aplikasi mobile dan sistem penyejukan untuk mengekalkan persekitaran rumah cendawan yang kondusif. Selain dinobatkan sebagai juara keseluruhan, inovasi ini juga turut diumumkan sebagai juara bagi Kategori Inovasi Produk Fizikal serta Inovasi IR4.0 (Sains dan Teknologi Makanan).

Program ini melibatkan sebanyak 145 penyertaan dari 45 Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dari seluruh Malaysia. Pertandingan ini terdiri dari tiga kategori iaitu Kategori Inovasi Produk Fizikal, Kategori Inovasi Produk Digital dan Kategori Inovasi Pendidikan.

Kesemua penyertaan ini telah dinilai oleh 21 orang juri dari beberapa buah Universiti Awam (UA) dan politeknik serta pihak industri, melalui sesi penjurian dan pitching yang dilaksanakan secara dalam talian pada 14 Ogos lalu.

Selain itu, POLISAS turut berjaya merangkul gelaran juara bagi Kategori Inovasi Produk Digital melalui Breezler As a Sustainable Aircooling Tower, manakala Politeknik Mukah, Sarawak pula diumumkan sebagai Juara bagi Kategori Inovasi Pendidikan melalui inovasi bertajuk The Effectiveness of Mobile Application For Secretarial Science Students: e-Trengkas Application. Juara ketiga-tiga kategori tersebut, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM250 beserta medal dan e-Sijil.

Bagi Anugerah Video Terbaik pula, Politeknik Muadzam Shah diumumkan sebagai Juara bagi Kategori Inovasi Produk Fizikal menerusi Penghasilan Produk inovasi Re-CondFire’S Aromatherapy Bagi Menyumbang Kepada Keselesaan Pengguna dan Kelestarian Alam, POLISAS bagi Kategori Produk Inovasi Digital dengan inovasi bertajuk Breezler As a Sustainable Aircooling Tower dan Politeknik Nilai bagi Kategori Inovasi Pendidikan melalui inovasi bertajuk Persepsi dan Keberkesanan Penggunaan Kit Mudah Wuduk Bagi Meningkatkan Pengamalan Pelajar Terhadap Pelaksanaan Wuduk dan Tayamum Ketika Sakit. Setiap pemenang membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM150 beserta medal dan e-Sijil.

Anugerah Abstrak Lanjutan Terbaik pula dimenangi oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris menerusi tajuk inovasi Pembangunan Aplikasi Permainan ‘ Carbon Fighter’: Inovasi Pengajaran Jejak Karbon Untuk Kanak-Kanak Prasekolah dan berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM150 berseta medal dan e-Sijil.

Turut dipertandingkan pada INNOPLEN kali ini adalah persembahan produk inovasi bertemakan ‘Cabaran Kejayaan Mampan:Keusahawanan ESG’ menerusi TikTok Live Challenge dan Kumpulan Teratak Kasih dari POLISAS telah berjaya mendapat tempat pertama Cabaran TikTok Live INNOPLEN 2023.

Program INNOPLEN 2023 yang merupakan anjuran Pusat Penyelidikan dan Inovasi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dan POLISAS ini telah bermula pada 12 Jun 2023. INNOPLEN 2023 ini diadakan bagi mencungkil bakat, menonjolkan kemahiran dan membudayakan elemen kreativiti dan inovasi  di kalangan semua peserta yang terlibat.

 

Pada majlis yang sama turut diadakan Penyerahan projek Public-Private Research Network (PPRN) POLISAS kepada Pekan Permai Enterprise. Projek yang dibangunkan adalah  Pengaplikasian Pertanian Persekitaran Terkawal (CEA) Bagi Rumah Cendawan Lestari Dengan Mengunakan Evaporated Cooling System dan Aplikasi Mobile dalam meningkatkan hasil pengeluaran cendawan.

 

Projek PPRN ini adalah untuk membantu usahawan industri penanaman cendawan dalam membangunkan sistem pengawalan dan pemantauan rumah cendawan yang kondusif dengan pengaplikasian Internet of Thing (IoT) bagi menyediakan persekitaran rumah cendawan yang kondusif terutamanya bagi rumah cendawan jenis kanopi.

Projek ini dibangunkan oleh pasukan penyelidik POLISAS, iaitu kolaborasi para Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, POLISAS menerusi  geran penyelidikan yang diperolehi sebanyak RM49,100.00.

Tuan Haji Kamaludin Daud bergambar bersama para pemenang dan tetamu jemputan lain.
Sesi penyerahan Projek PPRN POLISAS oleh Ketua Penyelidik, Ts. Fauzianna Awang kepada Pekan Permai Enterprise dan disaksikan oleh Haji Kamaludin Daud dan Puan Hajah Norehan Silek., Pengarah POLISAS.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti