International Highest Early Strength Eco-Green Concrete Competition 2026 (i-HESEGC2026)

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
16 July 2026
Penyelidikan dan Inovasi

Pengenalan

Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan kerjasama Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) akan menganjurkan International Highest Early Strength Eco-Green Concrete Competition 2026 (i-HESEGC2026) pada 3 hingga 4 Ogos 2026 bertempat di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan, Pahang. Program bertaraf antarabangsa ini menghimpunkan penyertaan daripada institusi pengajian tinggi, pihak industri serta peserta dari dalam dan luar negara sebagai platform untuk memperkasa inovasi dalam teknologi konkrit mampan serta menggalakkan perkongsian ilmu dan amalan terbaik dalam bidang pembinaan.

Keunikan pertandingan ini ialah peserta dikehendaki menghasilkan eco-green concrete yang menggunakan bahan kitar semula dan direka bentuk bagi mengurangkan impak terhadap alam sekitar. Sampel konkrit yang dihasilkan akan diuji selepas tempoh 24 jam untuk menentukan pencapaian kekuatan awal tertinggi. Selain menggalakkan penghasilan inovasi, program ini turut memperkukuh hubungan strategik antara institusi pendidikan dengan industri serta menyokong pembangunan modal insan berkemahiran tinggi selaras dengan keperluan Revolusi Industri 5.0.

Tema Program

Program ini mengangkat tema:

“Eco-Green Challenge: Where Strength Meets Sustainability”

Tema ini mencerminkan komitmen penganjur dalam menggalakkan pembangunan teknologi konkrit yang bukan sahaja mencapai prestasi kekuatan awal yang tinggi, malah menitikberatkan aspek kelestarian alam sekitar melalui penggunaan bahan mesra alam dan amalan pembinaan yang lebih lestari.

Objektif Program

Penganjuran i-HESEGC2026 bertujuan untuk:

  • mencapai KPI Politeknik melalui pelaksanaan program TVET berimpak yang memberi ruang kepada pensyarah dan pelajar mempamerkan kreativiti dalam penyelidikan dan inovasi;
  • meningkatkan pencapaian KPI POLYCC menerusi penyertaan pelajar di peringkat antarabangsa;
  • memperkasa inovasi dalam bidang konkrit bagi program Kejuruteraan Awam dan Alam Bina di politeknik serta kolej komuniti; dan
  • memberi pendedahan kepada peserta mengenai isu semasa, teknologi terkini serta amalan terbaik dalam industri pembinaan, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Aktiviti dan Pengisian Program

Sepanjang penganjuran i-HESEGC2026, pelbagai aktiviti ilmiah dan pertandingan akan dilaksanakan, antaranya:

  • Technical Talk Webinar yang menampilkan panel industri bagi berkongsi perkembangan teknologi, inovasi dan amalan semasa dalam bidang konkrit.
  • Pertandingan Eco-Green Concrete Cube Competition, iaitu pertandingan menghasilkan konkrit mesra alam dengan pencapaian kekuatan awal tertinggi.
  • Pertandingan Pembentangan Poster, yang memberi peluang kepada peserta membentangkan hasil penyelidikan, inovasi dan idea kreatif berkaitan teknologi konkrit mampan.
  • Penerbitan “i-HESEGC2026 Innovation Compendium”, yang menghimpunkan abstrak dan hasil penyelidikan peserta sebagai rujukan akademik serta industri.

Melalui pengisian ini, peserta bukan sahaja berpeluang mengaplikasikan pengetahuan teknikal, malah dapat memperluas jaringan profesional, berkongsi pengalaman bersama pakar industri dan meningkatkan kemahiran komunikasi serta penyelesaian masalah. Program ini turut dijangka mewujudkan kolaborasi yang lebih erat antara institusi pendidikan dan pemain industri dalam usaha melahirkan tenaga kerja yang kompeten dan berdaya saing.

Penutup

International Highest Early Strength Eco-Green Concrete Competition 2026 (i-HESEGC2026) merupakan satu inisiatif strategik dalam memperkukuh budaya penyelidikan, inovasi dan kelestarian dalam bidang teknologi konkrit. Penganjuran program ini bukan sahaja menjadi medan pertandingan, malah berfungsi sebagai platform perkongsian ilmu, pemindahan teknologi dan pengukuhan jaringan kerjasama antara institusi pendidikan dengan industri.

Diharapkan i-HESEGC2026 mampu melahirkan lebih ramai graduan yang kreatif, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran industri pembinaan masa hadapan, di samping mengangkat nama Politeknik Malaysia sebagai peneraju pendidikan TVET yang cemerlang di peringkat antarabangsa.

Penulis :

Arni Rahida binti Abdul Rafal, Setiausaha Program i-HESEGC2026

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti