8 Disember 2022, Putrajaya – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti telah menandatangani kolaborasi strategik bersama RunCloud Education bagi menjalankan program-program peningkatan kompetensi pelajar politeknik dan kolej Komuniti (POLYCC).
Sesi menandatangani kolaborasi strategik ini telah berlangsung di JPPKK ,Galeria PjH, Putrajaya pada petang tadi dengan JPPKK diwakili Ketua Pengarah, Dr. Haji Mohd Zahari Ismail manakala RunCloud Education diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Muhammad Arif Tukiman.
Melalui kolaborasi ini, program RunCloud Professional Certification dijalankan untuk pelajar-pelajar Kolej Komuniti khususnya yang mengikuti program Sijil Sistem Komputer dan Rangkaian dan Sijil Teknologi Maklumat.
Dr. Haji Zahari berkata, seramai 413 orang pelajar daripada 27 Kolej Komuniti telah berjaya menamatkan program RunCloud Professional Certification yang berjalan salama dua hari bermula 5 November lepas secara dalam talian.
“Saya difahamkan yuran untuk menyertai program ini adalah sebanyak RM1,999 bagi seorang pelajar. Namun begitu, program ini telah dibiayai sepenuhnya oleh RunCloud Education sempena Program Malaysia Techlympics 2022 yang dianjurkan oleh MRANTI yang merupakan agensi di bawah Kementerian Sains dan Teknologi (MOSTI)” jelasnya lagi.
Kolaborasi seperti ini mampu memberikan nilai tambah kepada para pelajar bagi melahirkan pelajar yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran digital khususnya dalam pengkomputeran awan.
Turut hadir, Dr. Wan Baharudin Wan Mahmood, Setiausaha Bahagian, Bahagian Dasar dan Penyelidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, Saiful Rizal Zainuddin, Competition Lead, Special Projects & Events, Strategic Communication Division, Malaysia Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), Mohd Noor Shahudin, Pengarah Kanan (Akademik) JPPKK, Roslee Yahya, Pengarah Kanan (Kompetensi) serta Pengarah-Pengarah Bahagian yang lain.