
Jempol, 8 November 2025 – Unit Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kolej Komuniti Jempol (KKJNS) buat julung kalinya menganjurkan Karnival Pembelajaran Sepanjang Hayat KKJNS 2025 yang berlangsung meriah serta mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti setempat.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang karnival tersebut antaranya Cabaran Catur KKJNS 2025, Kursus Pembuatan Roti Canai, Kursus Penyelenggaraan Kenderaan Ringan, Kursus Muzikal dan Teater serta Creative Kids Workshop yang dianjurkan khas untuk kanak-kanak.
Cabaran Catur KKJNS 2025 yang merupakan acara utama karnival telah berjaya menarik penyertaan seramai 160 orang peserta, menjadikannya antara pertandingan catur dengan penyertaan tertinggi dalam Daerah Jempol.
Pertandingan tersebut turut disertai peserta dari pelbagai negeri termasuk Melaka, Perak, Pahang, Selangor, dan Putrajaya di samping turut mendapat penyertaan daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Cabaran Catur KKJNS 2025 dibahagikan kepada tiga kategori iaitu bawah 12 tahun yang dimenangi oleh Muhammad Annas Syahmi Md Rizam dari Sekolah Kebangsaan Limbongan, Melaka manakala bagi kategori bawah 17 tahun dan 23 tahun masing-masing dimenangi oleh Eidil Khadijah Zainal Abidin dari SMK Sultan Ahmad dan Jeya Suriya Tamilarusu dari Nilai Universiti.
Karnival yang bersifat mesra komuniti ini bertujuan memperkasakan masyarakat melalui pembelajaran kemahiran sejajar dengan visi Kolej Komuniti sebagai peneraju institusi TVET yang unggul dalam memperluas akses pendidikan kepada semua lapisan masyarakat selain menjalin hubungan baik dengan komuniti pelbagai peringkat umur.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Serting merangkap Ahli Majlis Perbandaran Jempol, Nor Mohd Azahar Saharudin.
Dalam ucapannya, Nor Mohd Azahar Saharudin melahirkan rasa syukur kerana komuniti khususnya di Jempol bijak mengambil peluang untuk menambah kemahiran melalui pelbagai kursus anjuran KKJNS.
Beliau turut mencadangkan agar KKJNS menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi lain di Daerah Jempol untuk menubuhkan Kelab Catur Jempol pada masa akan datang.
Tuntasnya, karnival ini bukan sahaja membuka peluang kepada masyarakat untuk menimba ilmu dan kemahiran baharu, malah turut memperkukuh hubungan antara KKJNS dan komuniti setempat.


